
SIMUNJAN: Satu inisiatif baharu akan diperkenalkan bagi menambah baik kualiti serta keadaan tanah perkuburan Islam di kawasan Simunjan agar lebih teratur dan terjaga, menyerupai taman yang indah serta penuh penghormatan.
Projek tersebut bertujuan memberikan suasana yang tenang dan selesa kepada ahli keluarga yang datang menziarah serta sebagai tanda penghormatan kepada mereka yang telah meninggal dunia.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Simunjan, Awla Dris berkata, projek itu akan memberi impak positif dan melibatkan komuniti setempat dalam memastikan tanah perkuburan bukan sahaja bersih tetapi juga mempunyai keindahan dan ketenangan.

“Saya berhasrat menjadikan tanah perkuburan ini seperti taman dan saya akan fokus terlebih dahulu kepada Tanah Perkuburan Islam 1.
“Saya mahu mencipta persekitaran yang bukan hanya bersih tetapi penuh dengan ketenangan yang memberi rasa hormat kepada mereka yang telah tiada,” ujar Awla semasa merasmikan Program Gotong-Royong Perdana Tanah Perkuburan Islam Simunjan, hari ini.
Program gotong-royong itu dianjurkan oleh Jawatankuasa Pengurusan Tanah Perkuburan Islam Kampung Kelka ini dengan kerjasama Lembaga Amanah Kebajikan Islam Simunjan (LAKIS) sebagai persediaan menyambut Ramadan yang bakal tiba.
Tambah beliau lagi, projek tersebut melibatkan pelbagai usaha penambahbaikan termasuk pembinaan pagar, penanaman pokok-pokok hiasan, penyelenggaraan jalan laluan, serta pemasangan lampu solar.
“Dengan adanya tanaman hijau dan ruang yang lebih baik saya berharap ia akan memberi ketenangan kepada mereka yang datang berziarah,” jelasnya.
Turut hadir Pegawai Daerah Simunjan, Sanuyah Mohamad; Pegawai Hal Ehwal Islam, Jabatan Agama Islam Sarawak Bahagian Samarahan, Ustaz Aswat Osen; Penasihat 2 Jawatankuasa Pengurusan Tanah Perkuburan Islam Kampung Kelka, Superintenden Hamka Mohammad; Penghulu Ahmad Dol Simpol; Penghulu Abang Madehie Abang Junaidi dan
Penasihat 1 Jawatankuasa Pengurusan Tanah Perkuburan Islam Kampung Kelka merangkap Ketua Kaum Kampung Kelka Tengah, KK Wan Salem Wan Zain.