
BINTULU: Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) menyumbangkan sebanyak 2,500 set barang keperluan asas untuk mangsa banjir di Bintulu bagi meringankan beban mereka akibat bencana yang melanda baru-baru ini.
Sumbangan itu disampaikan kepada Timbalan Residen Bahagian Bintulu, Abang Zainuddin Abang Turkey yang mewakili Residen Bahagian Bintulu merangkap Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Bahagian (JPBB) Bintulu, Datu Nyurak Keti.
Ia diserahkan kepada JPBB Bintulu sebagai sebahagian daripada Misi Bantuan Bencana GLC Demi Rakyat dan Negara (GDRN) Sarawak.
Setiap penerima bantuan menerima satu set kotak berisi barangan asas seperti cerek elektrik, periuk nasi, dua selimut, dua tuala, dua sarung, serta tambahan satu selimut tebal Narita.
Menurut NADMA, bantuan tersebut bertujuan untuk memastikan mangsa banjir di Bintulu dapat memenuhi keperluan asas mereka dan membantu memulihkan kehidupan mereka pasca-banjir.
Inisiatif itu juga mendapat sokongan daripada pelbagai agensi korporat utama, termasuk CIMB Foundation, Khazanah Nasional, Yayasan Sime Darby, Yayasan PETRONAS, dan banyak lagi, yang turut bekerjasama dengan RED A Humanitarian Development Global.
Dengan kerjasama semua pihak, bantuan seumpama itu diharapkan dapat memberi sinar harapan kepada mangsa banjir di Bintulu dan mempercepat usaha pemulihan kawasan yang terjejas.
Oleh Carolyne Utih