PETRA JAYA: Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Sarawak kekal sebagai sebuah parti yang kuat dan stabil di wilayah ini, hasil amalan nilai keadilan dan permuafakatan sejak dahulu lagi.
Timbalan Presiden PBB Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata, nilai keadilan ini terserlah apabila pelantikan ketua pergerakan dan kepimpinan tinggi parti sentiasa melibatkan wakil daripada kedua-dua sayap utama, iaitu Pesaka dan Bumiputera.
“Ketua Pergerakan Pemuda dilantik daripada sayap Pesaka, manakala Ketua Pergerakan Wanita daripada sayap Bumiputera.
“Prinsip keseimbangan ini turut diterapkan dalam jawatan Timbalan Presiden, di mana saya mewakili sayap Pesaka, sementara Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan dari sayap Bumiputera.
“Perkara ini dipraktikkan hingga ke peringkat akar umbi, memastikan tiada isu berkaitan agama dan kaum timbul dalam PBB, sekali gus menjadikan parti ini kekal kuat,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis perasmian Perhimpunan Agung Ke-16 Pergerakan Pemuda dan Pergerakan Wanita PBB Sarawak di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK) hari ini.
Dalam pada itu, Uggah yang juga Timbalan Presiden PBB bagi sayap Pesaka, menjelaskan bahawa walaupun perkara tersebut tidak termaktub dalam perlembagaan parti, amalan baik ini tetap diamalkan sejak penubuhan parti.
“Menariknya, walaupun amalan ini tidak termaktub dalam perlembagaan parti, ia tetap dipelihara kerana dianggap baik.
“Semua ahli parti menghargai, mengekalkan, dan menjaganya hingga kini, sekali gus mengukuhkan perpaduan dalam parti,” katanya.
Tambah Uggah, permuafakatan dalam kalangan ahli parti, tanpa mengira kedudukan dan jawatan, jelas terserlah apabila enam kali pertukaran jawatan Presiden PBB berlangsung dengan lancar tanpa sebarang persengketaan atau perbalahan.
Pada masa sama, Uggah menyeru ahli serta kepimpinan baharu PBB Sarawak agar terus mengamalkan nilai tersebut, sekali gus memastikan parti kekal sebagai nadi dalam Gabungan Parti Sarawak (GPS) untuk memacu kemajuan dan pembangunan di wilayah ini.
Turut hadir, Timbalan Presiden PBB Sarawak bagi sayap Bumiputera Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan, Naib Presiden Kanan PBB Sarawak Dato Sri Dr Stephen Rundi Utom, Pengerusi Tetap PBB Sarawak Tan Sri Datuk Amar Mohamad Asfia Awang Nasar dan Setiausaha Agung PBB Sarawak Dato Sri Alexander Nanta Linggi.
Oleh Mohd Neenatul Aizal