
SIBU: Rumah Kanak-Kanak Methodist Sibu akan meraikan ulang tahun ke-75 tahun ini dengan pelbagai acara, termasuk majlis kesyukuran dan sambutan rasmi yang dijadualkan berlangsung pada 2 Jun depan.
Pengerusi Lembaga Pengurusan rumah tersebut, Lau Tiong Kii berkata, sebagai sebahagian daripada sambutan, satu gelanggang bola keranjang tertutup dan pusat aktiviti serba guna luar akan dibangunkan di kawasan belakang premis sedia ada.
“Persiapan bagi sambutan ulang tahun ini sedang giat dijalankan, termasuk pengaturan majlis yang akan diadakan pada hari berkenaan.
“Majlis kesyukuran akan berlangsung pada sebelah pagi di Gereja Wesley Methodist, manakala majlis makan malam akan diadakan di pusat serba guna tertutup yang baharu,” katanya kepada pemberita di sini, hari ini.
Menurut Lau, pihaknya turut menjemput individu yang pernah tinggal atau berkhidmat di Rumah Kanak-Kanak Methodist Sibu untuk menghadiri sambutan berkenaan.
“Ini memberi peluang kepada mereka untuk kembali ke tempat yang penuh dengan kenangan serta bertemu semula dengan rakan-rakan lama,” katanya.
Selain itu, waris kepada pengasas rumah tersebut, Mrs Pilley, seorang Misionari Methodist Amerika, serta keluarga Reverend Ling Wen Chung dan isterinya Ngu Siong King yang pernah berkhidmat sebagai pengarah pertama institusi itu turut dijemput.
Lau berkata, ramai bekas penghuni rumah itu kini menetap di luar negara, termasuk di Amerika Syarikat, dan mereka juga dijemput untuk menghadiri majlis berkenaan.
Dalam perkembangan berkaitan, beliau turut memaklumkan bahawa Tadika Methodist, yang berafiliasi dengan rumah tersebut, bakal menerima Guru Besar baharu, Tang San San, susulan persaraan Tang Soon Hua selepas 24 tahun berkhidmat.
Oleh Tarani Lanting