
PETRA JAYA: Pemuda Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) digesa agar lebih aktif dalam arena politik bagi memastikan kelangsungan perjuangan parti serta mempertahankan hak Sarawak dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).
Bekas Ketua Pergerakan Pemuda PBB Sarawak, Miro Simuh, berkata generasi muda harus berani turun ke lapangan, memahami selok-belok politik, dan memainkan peranan lebih besar dalam memastikan Sarawak terus maju.
“Kita tidak boleh sekadar menjadi pemerhati. Jika ada kekurangan, kita perbaiki diri, belajar daripada pemimpin senior, dan terus bergerak ke hadapan.
“Inilah proses yang mematangkan kita sebagai pemimpin masa depan, bukan hanya untuk parti tetapi juga demi Sarawak tercinta,” katanya ketika berucap dalam perasmian Majlis Perasmian Perhimpunan Agung Ke-16 Pergerakan Pemuda dan Pergerakan Wanita Parti PBB Sarawak, di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK), hari ini.
Beliau turut menegaskan kesiapsiagaan Pemuda PBB dalam menghadapi pilihan raya yang akan datang, dengan menjadikan pengalaman lepas sebagai panduan.
Katanya, Pemuda PBB telah menunjukkan komitmen dalam perjuangan parti, termasuk melalui program Jelajah Bendera GPS 2020 yang berlangsung selama 11 hari merentasi Sarawak.
“Kami adalah hulubalang parti, sentiasa bersedia menerima arahan dan melaksanakan tugas dengan penuh dedikasi.
“Pilihan raya bukan sekadar pertandingan, tetapi perjuangan menentukan masa depan Sarawak.
“Kami berjanji akan berusaha sehabis baik untuk memastikan kemenangan mutlak parti,” tegasnya.
Selain itu, isu hak Sarawak dalam MA63 turut menjadi tumpuan utama Pemuda PBB.
Miro menekankan bahawa perjanjian bersejarah itu bukan milik Kerajaan Persekutuan semata-mata, sebaliknya merupakan hak mutlak rakyat Sarawak yang perlu dipulangkan sepenuhnya.
“MA63 adalah asas kepada hak kita dalam Persekutuan Malaysia. Segala perkara yang termaktub dalam perjanjian ini perlu dihormati dan dilaksanakan sepenuhnya, tanpa sebarang kompromi.
“Dalam isu ini, kita harus bersatu hati tanpa mengira latar belakang politik,” tambahnya.
Dengan kesedaran akan tanggungjawab besar yang dipikul, Pemuda PBB berikrar untuk terus memperjuangkan hak Sarawak serta memastikan kestabilan dan kekuatan parti kekal utuh dalam landskap politik negara.
Oleh Amanda L.