

PETRA JAYA: Datuk Martin Ben dipilih sebagai Ketua Sayap Pemuda Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) selepas penyandangnya Miro Simuh memutuskan untuk melepaskan jawatan itu.
Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan parti, Datuk Awang Bemee Awang Ali Basah berkata semua 82 cawangan telah menyatakan persetujuan supaya tiada pemilihan atau pertandingan bagi Ketua Pergerakan Pemuda.
“Dengan itu, Martin Ben dipilih sebagai Ketua Pemuda PBB yang baharu manakala jawatan lain, antaranya Timbalan Ketua, Dato Lukanisman Awang Sauni, Allan Siden Gramong serta yang lain kekal,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat PBB di sini, hari ini.
Martin Ben adalah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kedup yang juga Timbalan Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah.
Perhimpunan Agung ke-16 PBB, akan diadakan Jumaat hingga Ahad ini di Pusat Konvensyen Borneo Kuching.
Awang Bemee turut menjelaskan bahawa pelepasan jawatan ketua oleh Miro bukan disebabkan faktor had umur.
“Untuk jawatan Ketua Pemuda, perlembagaan parti tidak menetapkan had umur,” katanya.
Awang Bemee turut mengumumkan semua penyandang jawatan dalam Wanita PBB dikekalkan apabila tiada pertandingan diadakan bagi sayap berkenaan pada perhimpunan agung kali ini.
Menurutnya, berikutan sokongan penuh semua 82 cawangan, Ketua Wanita PBB kekal diterajui oleh Dato Sri Fatimah Abdullah, manakala Timbalan Ketua 1 disandang oleh Datin Seri Angelina Ujang dan Datuk Sharifah Hasidah Sayeed Aman Ghazali sebagai Timbalan Ketua 2.
“Jawatan Naib Ketua 1 pula kekal disandang oleh Dato Sri Nancy Shukri, Umang Nangku Jabu sebagai Naib Ketua 2 dan Datuk Rubiah Wang sebagai Naib Ketua 3,” katanya.
Awang Bemee berkata, 13 Ahli Jawatankuasa Pergerakan Wanita PBB turut menang tanpa bertanding sekali gus mengekalkan kestabilan kepimpinan sayap parti itu.