
SIDANG MEDIA… Datuk Awang Bemee Awang Ali Basah ketika sidang media selepas sesi cabutan nombor undian di Ibu Pejabat PBB di Jalan Bako, Petra Jaya hari ini.
PETRA JAYA: Enam calon disahkan akan merebut empat jawatan Naib Presiden Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) bagi sayap Bumiputera pada Perhimpunan Agung ke-16 parti mulai Jumaat hingga Ahad ini.
Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan PBB, Dato Awang Bemee Awang Ali Basah berkata, dua pencabar baharu tampil kali ini ialah Datuk Len Talif Salleh dan Dato Ibrahim Baki.
Empat panyandang pula akan mempertahankan jawatan itu – Dato Sri Julaihi Narawi, Datuk Dr Annuar Rapaie, Datuk Dr Abdul Rahman Junaidi dan Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah.
Bagaimanapun, menurut Awang Bemee tiga jawatan Naib Presiden bagi sayap Pesaka tanpa bertanding.
“Mereka ialah Dato Sri Roland Sagah Wee Inn, Datuk Gerawat Gala dan Dato Gerald Rentap Jabu,” katanya pada sidang media mengumumkan senarai calon yang bertanding di Ibu Pejabat PBB, Jalan Bako di sini, hari ini.
Awang Bemee yang juga Penasihat Undang-undang PBB berkata, seramai 19 calon akan bertanding bagi sayap Pesaka untuk mengisi 14 jawatan Ahli Majlis Tertinggi (MT).
Bagi sayap Bumiputera pula seramai 20 calon akan bertanding bagi mengisi 16 jawatan.
Beliau berkata, semua calon yang layak bertanding bagi jawatan Naib Presiden dan Ahli MT itu mendapat percalonan dari cawangan-cawangan parti.
Terdahulu beliau mengumumkan jawatan Presiden, dua Timbalan Presiden dan Naib Presiden Kanan Yang dimenangi tanpa bertanding.
“Ketiga-tiga jawatan tertinggi itu tidak dipertandingkan adalah usul daripada kesemua 82 cawangan PBB dari seluruh negeri,” katanya.
Jawataj Presiden parti yang disandang oleh Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg dimenangi tanpa dicabar.
Turut tidak dicabar ialah dua Timbalan Presiden iaitu Datuk Amar Douglas Uggah Embas (bagi sayap Pesaka) dan Datuk Amar Awang Tengah Ali Hassan, mewakili sayap Bumiputera.
Dua Naib Presiden Kanan PBB iaitu Dato Sri Fadillah Yusof (Bumiputera) dan Dato Sri Dr Stephen Rundi Utom (Pesaka) juga menang jawatan itu tanpa bertanding.
Sementara itu, tiga Timbalan Menteri, bakal bersaing untuk merebut 16 jawatan MT bagi sayap Bumiputera.
Mereka ialah Datuk Ir Aidil Lariwoo, Datuk Abdullah Saidol dan Datuk Ricky@Mohammad Razi Sitam.