
Iskandar menyerahkan sumbangan kepada mangsa banjir.
BINTULU: Sebanyak 500 tilam dan 850 bakul makanan diagihkan kepada mangsa banjir di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Jepak yang terjejas akibat banjir baru-baru ini.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jepak, Iskandar Turkee berkata, bantuan itu merupakan hasil kerjasama antara Pusat Khidmat Rakyat Jepak dan Yayasan Ikram Malaysia.
Yayasan Ikram Malaysia menyumbangkan 500 tilam, manakala Pusat Khidmat Rakyat Jepak mengagihkan 850 bakul makanan kepada mangsa yang memerlukan.
“Kami mengucapkan terima kasih kepada Yayasan Ikram Malaysia atas sumbangan ini.
“Bantuan ini akan disalurkan melalui ketua kaum kawasan masing-masing, dari Kampung Baru hingga Kampung Haji Ismail Kuala Tatau,” katanya semasa simbolik penyerahan hari ini.
Dalam perkembangan lain, beliau memberitahu, bantuan susulan dari kerajaan Sarawal dan Kerajaan Persekutuan akan diberikan dalam masa terdekat.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Yayasan Ikram Malaysia, Dr. Zaharuddin Saidon berkata, yayasan mereka akan terus berusaha untuk membantu mangsa bencana di seluruh negara termasuk di Sarawak.
Turut hadir menyaksikan penyerahan bantuan itu ialah Pemanca Awang Merais Awang Merais, dan Timbalan Ketua Cawangan Jepak, Pengiran Dato Ts Daud Pengiran Putera.