


KUCHING: Jumlah mangsa banjir di Sarawak menunjukkan trend penurunan apabila keadaan cuaca semakin stabil yang membolehkan lebih ramai penduduk pulang ke rumah masing-masing secara berperingkat.
Menurut laporan Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak (JPBNS), seramai 1,286 orang masih berada di pusat pemindahan sementara (PPS) setakat jam 4 petang, berbanding 1,534 orang pada jam 8 pagi tadi.
Beberapa kawasan menunjukkan keadaan semakin pulih yang menyebabkan jumlah PPS aktif turut berkurang dari 14 PPS kepada 10 PPS.
Antara kawasan yang mencatatkan pengurangan mangsa adalah Mukah, yang sebelum ini merekodkan 603 mangsa pada jam 8 pagi tetapi menurun kepada 441 orang pada sebelah petang.
Begitu juga di Bintulu, jumlah mangsa berkurang daripada 612 kepada 565 orang, manakala Miri merekodkan penurunan daripada 288 kepada 277 orang.
Namun, kawasan seperti Sibu masih mencatatkan jumlah mangsa yang sama iaitu tiga orang sejak pagi tadi.
JPBNS memaklumkan bahawa keadaan banjir terus dipantau rapi, dan penduduk di kawasan berisiko dinasihatkan untuk sentiasa berwaspada serta mematuhi arahan pihak berkuasa.
Oleh MASRIN AFFIRAH