
MALUDAM: Sebanyak 756 pek bakul makanan telah diagihkan kepada mangsa yang terjejas banjir di Daerah Maludam, di sini, semalam.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lingga, Dayang Noorazah Awang Sohor berkata sebanyak 884 pintu rumah di kawasan Maludam termasuk perkampungan Melayu dan rumah panjang telah diagihkan bantuan itu.
Antaranya ialah Pasar Maludam, Kampung Hulu, Kampung Hilir, Kampung Tengah, Kampung Seberang Pasar, Kampung Seberang, Triso, Sungai Mulon, Suak dan juga Kampung SPK.
“Ini adalah merupakan agihan kali kedua bakul makanan kepada mangsa yang telah terjejas dengan bencana banjir.
“Bakul makanan yang diagihkan mengandungi barangan keperluan asas bagi membantu meringankan beban penduduk yang terjejas akibat banjir di Maludam baru-baru ini,” katanya semasa penyerahan sumbangan bantuan bakul makanan untuk mangsa banjir kawasan Pekan Kecil Maludam, di Dewan Serbaguna Maludam di sini semalam.

Dayang Noorazah berkata banjir yang melanda sejak awal Februari lalu telah menjejaskan seluruh kawasan perkampungan dan pasar di sekitar Maludam.
“Impak daripada banjir tersebut menyebabkan aktiviti harian terjejas dan juga memusnahkan tanaman pertanian penduduk kawasan tersebut.
“Semoga pemberian sumbangan ini sedikit sebanyak dapat memberi kegembiraan serta meringankan beban seluruh kepada penduduk yang terjejas,” katanya.
Dayang Noorazah berkata, bencana banjir di kawasan Pekan Kecil Maludam turut mendapat perhatian dari Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Betong yang turut menghulurkan sumbangan berupa bakul makanan kepada penduduk kawasan yang terjejas tempoh hari dengan bantuan Angkatan Pertahanan Awam (APM) Betong.
Turut hadir, Penghulu Mahli Semail; Ketua Pemuda PBB Cawangan N.28 Lingga, Abdul Rahim Jamil; Ketua Penerangan PBB Cawangan N.28 Lingga, Zakaria Othman; Timbalan Pengerusi I, SABERKAS Cawangan Lingga, Mohamad Fawzi Jaafar dan Ketua Masyarakat dan Ketua Kaum (KMKK).
Oleh Adi Saparman