21 individu terima anggota prostetik percuma, pulih keyakinan diri

Facebook
WhatsApp
DATO Sri Doris Sophia Brodie hadir pada Majlis Penyerahan Anggota Prostetik Percuma anjuran Che Chuan Khor Sri Aman bersama Persatuan Pembangunan Moral Masyarakat dari Betong dan Saratok. Foto: Pusat Khidmat P202 Parlimen Sri Aman

SIMANGGANG, 15 November: Seramai 21 individu daripada pelbagai kaum dan latar belakang menerima manfaat menerusi program penyerahan anggota prostetik percuma anjuran Che Chuan Khor Sri Aman dengan kerjasama Persatuan Pembangunan Moral Masyarakat dari Betong dan Saratok.

Majlis penyerahan tersebut dihadiri Ahli Parlimen Sri Aman, Dato’ Sri Doris Sophia Brodie yang mewakili Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Dr Sim Kui Hian, dekat sini semalam.

Doris dalam ucapannya merakamkan ucapan tahniah kepada pihak penganjur atas pelaksanaan program kebajikan yang disifatkannya amat bermakna kerana memberi peluang kepada golongan yang memerlukan untuk menjalani kehidupan dengan lebih baik.

Beliau turut menyampaikan penghargaan kepada semua penderma, sukarelawan, pasukan teknikal dari Jakarta, Indonesia dan Kuching serta semua pihak yang menyumbangkan tenaga, masa dan kepakaran bagi memastikan program berkenaan berjaya dilaksanakan.

Menurutnya, daripada keseluruhan 21 penerima manfaat, majoritinya berasal dari Bahagian Sri Aman, manakala selebihnya dari Betong dan Saratok.

“Ia jelas mencerminkan semangat perpaduan, keprihatinan dan keterangkuman masyarakat Sarawak, terutama di Sri Aman tanpa mengira kaum dan agama.

“Bagi saya, program ini bukan sekadar menyediakan anggota palsu, tetapi lebih penting, memberi harapan, memulihkan maruah dan keyakinan diri, meningkatkan kualiti hidup serta mengembalikan semangat berdikari kepada para penerima,” katanya.

Beliau berkata, inisiatif berkenaan turut mencerminkan prinsip Persatuan Pembangunan Moral Masyarakat yang mengutamakan nilai kemanusiaan, kasih sayang dan keikhlasan dalam membantu golongan yang memerlukan.

Katanya, sumbangan orang ramai, walaupun kecil, mampu membawa perubahan besar apabila digembleng secara bersama demi kesejahteraan masyarakat.

Dalam pada itu, Doris turut mengingatkan masyarakat supaya sentiasa mengutamakan penjagaan kesihatan menerusi pemeriksaan berkala, pemakanan seimbang dan amalan gaya hidup aktif.

Beliau menegaskan penyakit seperti diabetes dan tekanan darah tinggi perlu dikawal bagi mengelakkan komplikasi serius, termasuk risiko kehilangan anggota badan sehingga memerlukan amputasi.

“Mencegah adalah lebih baik daripada mengubati. Justeru, masyarakat perlu mengambil serius aspek penjagaan kesihatan dan tidak mengabaikan pemeriksaan kesihatan secara berkala,” katanya.

Beliau turut menyeru lebih ramai golongan muda, sektor korporat dan organisasi masyarakat supaya tampil menyertai serta menyokong usaha kebajikan seumpama itu bagi memperluas manfaat kepada golongan yang memerlukan.

“Masyarakat yang maju ialah masyarakat yang tidak meninggalkan golongan rentan dan mereka yang memerlukan,” katanya.

Doris turut mengucapkan tahniah dan syabas kepada semua pihak penganjur, penderma serta sukarelawan atas komitmen dan sumbangan dalam menjayakan program berkenaan.

Oleh Adi Safarman

Lau gesa jalan Dalat-Sibu dipercepat

SIBU, 15 November: Gesaan supaya projek pembinaan jalan raya yang menghubungkan Dalat ke Sibu dipercepatkan mendapat sokongan Pengerusi Jawatankuasa Tetap

Lau gesa jalan Dalat-Sibu dipercepat

SIBU, 15 November: Gesaan supaya projek pembinaan jalan raya yang menghubungkan Dalat ke Sibu dipercepatkan mendapat sokongan Pengerusi Jawatankuasa Tetap