SIMANGGANG, 15 November: Pergerakan Wanita Parti Rakyat Sarawak (PRS) Pusat terus memperkukuh kesiapsiagaan jentera parti menerusi Program Jelajah ‘Jom Sedia’ Zon Selatan yang melibatkan tujuh Bahagian Wanita PRS, semalam.
Program berkenaan menghimpunkan Bahagian Wanita PRS Mambong, Tebedu, Balai Ringin, Bukit Begunan, Simanggang, Batang Ai dan Engkilili bagi menyelaraskan gerak kerja, selain memperkukuh perpaduan serta semangat berpasukan dalam kalangan jentera wanita.
Ketua Wanita PRS Pusat, Dato Sri Doris Sophia Brodie yang mengetuai program itu berkata, Jelajah ‘Jom Sedia’ merupakan platform penting untuk meningkatkan kefahaman anggota terhadap perkembangan semasa, kesedaran politik dan persediaan menghadapi cabaran mendatang, khususnya Pilihan Raya Negeri Sarawak Ke-13 (PRN13).
Menurutnya, jentera Wanita PRS, terutama di peringkat akar umbi, perlu terus memainkan peranan aktif sebagai penghubung antara parti dengan masyarakat, selain memperkukuh hubungan dengan rakyat.
Dalam sesi perkongsian itu, beliau turut menyentuh pelbagai pencapaian strategik dan perancangan pembangunan Sarawak di bawah kepimpinan Gabungan Parti Sarawak (GPS) yang diterajui Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg.
Antara perkara yang diketengahkan termasuk penubuhan Bank Pembangunan Sarawak (DBOS), Dana Kekayaan Berdaulat Masa Depan Sarawak, AirBorneo, pengukuhan peranan Unit Hal Ehwal Agama-Agama Lain (UNIFOR), pelaksanaan Skim Pendidikan Tinggi Percuma Sarawak (FTES), serta perancangan pembangunan Lapangan Terbang Antarabangsa dan Pelabuhan Laut Dalam Tanjung Embang.
Katanya, pencapaian dan perancangan berkenaan mencerminkan hala tuju serta keupayaan Sarawak dalam menentukan masa depannya sendiri.
Sehubungan itu, beliau menegaskan bahawa kestabilan politik, kepimpinan yang mantap dan kesinambungan pentadbiran penting bagi memastikan agenda pembangunan negeri dapat diteruskan serta manfaatnya dinikmati oleh seluruh rakyat.
“Wanita PRS bukan sekadar pelengkap kepada kekuatan parti, tetapi merupakan tunjang penting di peringkat akar umbi.
“Kesiapsiagaan tidak bermula apabila pilihan raya diumumkan, sebaliknya perlu dibina dari sekarang melalui komitmen, disiplin, perpaduan dan khidmat berterusan kepada rakyat,” katanya.
Beliau turut menyeru seluruh jentera Wanita PRS supaya terus memperkemas organisasi, memperkukuh hubungan dengan masyarakat serta meningkatkan pendekatan mesra rakyat di kawasan masing-masing.
“Kita mesti terus bergerak sebagai satu pasukan yang kukuh dan bersedia untuk mempertahankan kepercayaan rakyat serta memastikan kemenangan GPS pada Pilihan Raya Sarawak tidak lama lagi,” katanya.
Program Jelajah ‘Jom Sedia’ itu merupakan sebahagian daripada usaha penyelarasan organisasi Wanita PRS bagi memastikan jentera di setiap bahagian memahami peranan masing-masing dan bersedia menghadapi PRN13.
Oleh Adi Safarman





