
MIRI: Sejumlah rokok yang disyaki tanpa cukai kastam bernilai RM246,400 dirampas menerusi Ops Taring Landai di sini, semalam.
Ketua Polis Daerah, ACP Alexson Naga Chabu dalam kenyataan malam tadi, berkata rampasan itu dilakukan oleh empat anggota
Unit Risikan Marin (URM) Markas Taktikal Pasukan Polis Marin Wilayah 5 Miri pada 10.30 pagi.
“Pasukan URM telah menahan dan memeriksa sebuah pikap di Jalan Melayu, Centre Point di sini.
“Hasil pemeriksaan di belakang pikap tersebut didapati beberapa kotak mengandungi rokok dan pihaknya telah menahan seorang lelaki warga tempatan berusia 60 tahun.
“Hasil soal siasat polis, lelaki terbabit gagal menunjukkan sebarang bukti dokumen yang sah daripada pihak kastam, rokok tersebut disimpan tanpa cukai kastam dan telah melakukan kesalahan di bawah akta kastam 1967,” katanya.


Menurut Alexson, jumlah keseluruhan nilai rampasan adalah RM384,400 termasuk sebuah sebuah pikap bernilai RM138,000 dan rokok tersebut.
“Semua barang rampasan dan tangkapan diserah kepada Pegawai Penyiasat Bahagian Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Daerah Miri untuk siasatan dan tindakan selanjutnya,” ujarnya.
Oleh Liong Chai Ling