
SIBU: Semua pihak diseru untuk terus bersatu-padu dan memberikan sokongan kepada Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg bagi memastikan pembangunan yang lebih pesat di Sarawak.
Presiden Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP), Datuk Amar Dr Sim Kui Hian berkata, Sarawak telah berkembang pesat dalam tempoh beberapa tahun kebelakangan ini hasil komitmen para pemimpinnya.
“Kita mencapai pembangunan pesat kerana kita (Sarawak) mempunyai kestabilan, kita tidak bergaduh.
“Oleh itu, adalah penting bagi Sarawak untuk terus bersatu dan mengekalkan keharmonian demi memastikan pembangunan terus berjalan lancar,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa berucap pada Majlis Sambutan Tahun Baharu Cina SUPP Bukit Assek serta Majlis Pelantikan Jawatankuasa Eksekutif, Wanita, Belia, dan Belia Muda (2025-2027) cawangan itu, tengah hari tadi.
Berucap sama pada majlis tersebut, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Assek, Joseph Chieng Jin Ek memberitahu, kawasan DUN Bukit Assek telah menerima projek bernilai RM20 juta di bawah Program Transformasi Luar Bandar (RTP) sejak 2022.
Katanya, ini adalah termasuk 159 projek penambahbaikan dan pembangunan untuk kawasan tersebut.
“Selain itu, terdapat pelbagai dana untuk membantu membaiki rumah golongan B40. Kami turut menyediakan insentif kepada pelajar yang memperoleh keputusan cemerlang dalam SPM, STPM, dan UEC,” katanya.
Pada tahun ini, katanya, beliau akan memberi tumpuan kepada projek pembangunan semula Bukit Assek serta projek mitigasi banjir di Sentosa.
Dalam majlis itu, Chieng Buong Toon telah dipilih semula sebagai pengerusi bagi penggal baharu.
Oleh Akun Giman