
SIBU: Majlis Perbandaran Sibu (MPS) telah mengenal pasti jalan dan sistem perparitan yang terjejas di sekitar bandar ini susulan banjir yang melanda sejak awal tahun.
Pengerusi MPS, Clarence Ting berkata, pihaknya telah mengambil langkah proaktif dengan memohon peruntukan bagi kerja-kerja pembaikan yang diperlukan, termasuk menaikkan jalan-jalan yang sering dilanda banjir.
“Malangnya, kita tidak boleh mengatakan bahawa Sibu memulakan tahun ini dengan kegembiraan, kerana ramai yang telah mengalami banjir teruk dalam tempoh 10 hari yang lalu. Air banjir telah memasuki rumah dan jalan raya, menyebabkan banyak kesulitan,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam ucapan majlis sambutan Tahun Baharu Cina MPS 2025 yang disempurnakan oleh Timbalan Menteri Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Michael Tiang selaku mewakili Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Dr Sim Kui Hian di sebuah hotel terkemuka di sini, hari ini.
Ting menambah bahawa usaha sedang dipergiat untuk membaiki jalan berlubang serta kerosakan lain dan menggesa orang ramai untuk menyalurkan maklumat berkaitan kepada pihak majlis.
“Terdapat banyak kerosakan, dan kami memerlukan kerjasama anda untuk memastikan ia dapat dibaiki dengan segera,” katanya.
Menurutnya, kawasan di bawah pentadbiran Majlis Daerah Luar Bandar Sibu (MDLBS), khususnya di Stabau dan Sungai Bidut, mengalami kesan lebih teruk akibat banjir.
“Ini adalah permulaan tahun yang agak suram dengan jumlah air yang melimpah di mana-mana. Namun, seperti kata pepatah Cina, ‘Air membawa kemakmuran,’ saya benar-benar berharap bahawa walaupun dengan kesulitan yang dibawa, Tahun Ular ini akan membawa kemakmuran kepada kita semua pada 2025,” ujarnya.
Dalam perkembangan lain, Ting turut mengumumkan pelancaran penggunaan kamera badan oleh penguatkuasa MPS, satu inisiatif yang menurutnya akan memperkukuhkan usaha penguatkuasaan majlis.
“Beberapa hari lalu, Majlis Bandaraya Kuching Selatan (MBKS) telah memperkenalkan kamera badan untuk pegawai penguatkuasa mereka. Memandangkan kita telah memilikinya selama setahun, saya percaya ini adalah masa yang sesuai untuk melancarkannya secara rasmi. Kini, MPS mempunyai lima unit kamera badan,” katanya.
Oleh Tarani Lanting