
SIBU: Kementerian Kesihatan (KKM) telah melaksanakan Sistem Pengurusan Data Klinikal (CCMS) di 50 klinik kesihatan di seluruh negara.
Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad berkata, daripada jumlah itu, empat telah dilaksanakan di klinik kesihatan di Sarawak.
“Empat klinik tersebut ialah Klinik Kesihatan Sebauh, Klinik Kesihatan Tatau, Klinik Kesihatan Bintulu, Klinik Kesihatan Telaga Air dan Klinik Kesihatan UTC Kuching. Ini yang telah dilaksanakan dalam fasa pertama,” katanya pada sidang media di bilik mesyuarat Hospital Sibu, hari ini.
Beliau memberitahu, KKM akan melaksanakan CCMS di 100 klinik kesihatan di seluruh negara pada tahun ini.
“Ada enam di Sarawak, ini tidak termasuk jumlah klinik yang saya sebutkan tadi (yang sudah ada digitalisasi). Enam klinik tersebut ialah Klinik Kesihatan Ba Kelalan, Klinik Kesihatan Balai (Bakam), Klinik Kesihatan Bario, Klinik Kesihatan Batu Danau, Klinik Kesihatan Pa’ Dallih dan Klinik Kesihatan Paloh,” katanya.
Menyentuh dana RM10 juta, katanya, sebanyak 142 klinik di Sarawak akan digitalisasi.
“Saya ucapkan terima kasih terima kasih kepada Premier Sarawak (Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg) yang memberikan sokongan yang sangat padu untuk kami laksanakan sistem digitalisasi ini.
“Sistem ini sangat penting kerana ia dapat mengurangkan masa menunggu di klinik kesihatan dari 3 jam kepada 30 minit. Dan pada waktu malam masa menunggu antara 15 hingga 30 minit, itu yang rakyat sangat mahu.
“Apabila data kita semua dalam digital, insyaallah kita dapat mengelakkannya musnah,” katanya lagi.
Terdahulu, Dr. Dzulkefly bersama Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Dato Sri Tiong King Sing mengadakan lawatan kerja ke Klinik Kesihatan Jalan Oya, Klinik Kesihatan Lanang dan Klinik Kesihatan Sibu Jaya.
Sebuah taklimat berkenaan situasi banjir dan perancangan jangka panjang pembangunan fasiliti kesihatan turut diadakan sewaktu lawatan kerja kedua-dua Menteri ke Hospital Sibu.
Turut hadir ialah Timbalan Menteri Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan yang juga ADUN Pelawan Datuk Michael Tiang Ming Tee, ADUN Bukit Assek Joseph Chieng Jin Ek, Setiausaha Politik Premier Sarawak Joshua Ting, Pengarah Hospital Sibu Dr Nanthakumar Thirunavukkarasu serta yang lain.
Oleh Akun Giman