KUCHING, 13 Oktober: Enam kawasan di Sarawak mencatatkan bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) pada tahap tidak sihat setakat 8.00 pagi ini, dengan Lubok Antu merekodkan bacaan tertinggi iaitu 188.
Berdasarkan data Lembaga Sumber Asli dan Alam Sekitar Sarawak (NREB), lima kawasan lain yang turut mencatatkan bacaan tidak sihat ialah Sri Aman (172), Serian (154), Samarahan (129), Belaga (110) dan Tebedu (102).
Sementara itu, sebanyak 14 stesen pemantauan lain di seluruh Sarawak merekodkan bacaan IPU pada tahap sederhana, antara 51 hingga 100.
Antara kawasan berkenaan ialah Kapit (97), Kuching (93), Bintulu dan Lundu masing-masing (90), Samalaju (88), Sibu (86) serta Sarikei (80).
Kawasan lain yang turut mencatatkan bacaan sederhana ialah Lawas (79), Kanowit (78), Miri (73), ILP Miri (68), Mukah (63), Limbang (62) dan Bario (60).
Bagaimanapun, tiada data terkini direkodkan bagi stesen pemantauan kualiti udara bergerak (MCAQM) di Betong.
Mengikut kategori IPU, bacaan antara 51 hingga 100 diklasifikasikan sebagai sederhana, manakala bacaan antara 101 hingga 200 berada pada tahap tidak sihat.
Keadaan udara pada tahap tidak sihat boleh memburukkan kesihatan golongan berisiko tinggi, khususnya individu yang mempunyai masalah jantung dan paru-paru
Setakat 8.00 pagi ini, tiada kawasan di Sarawak merekodkan bacaan IPU pada tahap sangat tidak sihat atau berbahaya.





