KETUA Jurulatih Olahraga, Majlis Sukan Negeri Sarawak (MSNS), Watson Nyambek memberitahu, buat masa sekarang latihan membabitkan atlet dibawah kendaliannya berlangsung di trek dan dibahagi dua iaitu untuk ahli kelab dan atlet elit yang bakal mewakili Sarawak ke temasya Sukan Malaysia (SUKMA) XX Johor 2020.
“Disebabkan tempat yang terhad, kita berikan laluan kepada atlet elit untuk berlatih di trek berbanding atlet biasa atau skuad pelapis.
“Skuad pelapis juga akan berlatih secara individu tetapi mengunakan trek berbeza iaitu trek jalan tar,” katanya.
Jelas Watson, laporan setiap sesi latihan membabitkan atlet skuad pelapis akan dilaporkan melalui penghantaran video.
Tambah beliau, pada awal penggunaan trek jalan tar untuk latihan membabitkan atlet pelapis sememangnya agak janggal tetapi kini mereka berjaya menyesuaikan diri.
Selain itu, beliau menyatakan prestasi atlet elit setakat ini agak menurun kerana lebih tiga bulan menjalani latihan secara sendirian di rumah ekoran pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sejak 18 Mac lalu.
Watson sebelum itu turut melahirkan rasa teruja kerana atlet-atlet dibawah jagaannya kini dapat berlatih seperti biasa dengan cara norma baharu menerusi pematuhan Prosedur Operasi Standard (SOP) yang telah ditetapkan bagi membendung penularan wabak Covid-19.