BINTULU: Seorang lelaki cedera selepas tangan kirinya melecur akibat cuba memadamkan kebakaran pada kenderaan miliknya di Batu 27, Jalan Bintulu-Miri, sebentar tadi.
Menurut jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung insiden itu pada 2.31 petang.
“Setibanya di lokasi, pasukan bomba mendapati api pada kenderaan jenis Perodua Alza telah berjaya dipadamkan oleh pemiliknya menggunakan air dari sumber terbuka berdekatan.
“Kebakaran dipercayai berlaku di bahagian enjin, yang mengalami kerosakan hampir 100 peratus,” katanya.
Tiada operasi pemadaman dilakukan, namun pemantauan tetap dilakukan bagi memastikan api padam sepenuhnya.
Punca kebakaran dan jumlah kerugian masih dalam siasatan.