NUR AIN OTSMAN
KUCHING: Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak bersama pihak berkuasa tempatan (PBT) dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menjalankan operasi sanitasi di beberapa tempat di sekitar Kuching dan Miri, semalam.
Penolong Pengarah Operasi JBPM Sarawak, Tiong Ling Hii berkata, operasi yang bermula jam 9.00 pagi itu dijalankan di kawasan tumpuan awam di Kuching dan Miri.
“Untuk di Kuching, ia dilaksanakan di kawasan Masjid India, Pusat Penjaja Cathay Lane dan Song Kheng Hai Ground Floor Recreation Centre.
Operasi itu melibatkan 29 anggota bomba, 24 anggota Majlis Bandaraya Kuching Selatan (MBKS), 10 anggota Dewan Bandaraya Kuching Utara (DBKU) dan sembilan anggota KKM.
Manakala di Miri melibatkan kawasan Bilik VVIP Lapangan Terbang yang dijalankan jam 9.30 pagi membabitkan empat anggota Bomba dan empat anggota KKM,” katanya dalam satu kenyataan, semalam.
Jam 1.45 petang pula, operasi sanitasi awam tertumpu di Kenyalang Park Market.
“Proses nyahcemar turut dijalankan ke atas bas yang membawa penumpang dan kapal terbang yang tiba dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).
Penumpang digerakkan dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching (KIA) ke pusat kuarantin di sebuah hotel di Kuching menggunakan bas terbabit,” ujarnya.
Sebanyak lapan buah bas dinyahcemar bermula jam lima petang.
Setakat jam 2.20 petang semalam sebanyak 43 tempat berjaya disanitasi melibatkan 17 di Kuching, Samarahan (6), Sri Aman (1), Betong (2), Sarikei (4), Miri (7) dan Sibu dan Limbang (3).