SARIKEI: Paras air di empat lokasi telah dipantau oleh anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sarikei, hari ini.
Ketua BBP Sarikei, Arrahman Chik berkata, empat lokasi tersebut adalah Ulu Sarikei, Kampung Selalang, Sekolah Kebangsaan (SK) Ulu Roban dan Kampung Melayu Roban.
“Rondaan pemantauan dijalankan bermula 9.05 pagi hingga 12.56 tengah hari.
“Dua orang anggota bomba bertugas menjalankan pemantauan tersebut,” katanya.
Tambahnya, paras air di lokasi pemantauan masih dalam keadaan terkawal.
“Air sedang surut semasa anggota bomba menjalankan pemantauan paras air.
“Hujan renyai-renyai juga sedang berlaku semasa pemantauan dijalankan,” katanya.
Oleh Earl Anek