BINTULU: Perbadanan Perhutanan Sarawak (SFC) Wilayah Bintulu menyerlahkan komitmen tinggi dalam menghadapi bencana banjir dengan menyertai OPS Banjir, di bawah Jawatankuasa Pengurusan Bencana yang dipengerusikan oleh Pejabat Residen Bintulu.
SFC menerusi satu kenyataan di Facebook berkata, anggota SFC turut menghulurkan bantuan dengan mengagihkan bekalan makanan asas ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di Tatau dan Sebauh selain menjalankan pemantauan hidupan liar bagi memastikan keselamatan awam.
Banjir yang melanda Bintulu baru-baru ini turut menjejaskan 29 kakitangan SFC, namun mereka tetap teguh menjalankan tugas.
Anggota yang tidak terkesan langsung berganding bahu membantu kerja-kerja pembersihan rumah mangsa banjir, memperkukuh semangat kebersamaan dalam komuniti.
Komitmen dan dedikasi SFC dalam memastikan keselamatan serta kesejahteraan masyarakat mencerminkan peranan pentingnya sebagai badan perhutanan yang bukan sahaja menjaga alam, tetapi juga sentiasa bersedia membantu rakyat ketika bencana melanda.