PANTU: Sebanyak 482 pek makanan kering telah dihantar di dua kawasan sekitar Daerah Pantu kepada mangsa terjejas banjir hari ini.
Menurut Pusat Gerakan Operasi (PGO) Bomba Sarawak berkata Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sri Aman telah menerima panggilan berhubung bantuan menghantar barang makanan di Daerah Pantu sekitar 9.00 pagi.
“Di kawasan Gayau Pantu, sebanyak lima rumah panjang telah terjejas banjir yang melibatkan seramai 235 ketua isi rumah (KIR).
“Manakala di Keranggas Pantu, lima rumah panjang telah terjejas banjir dan terputus hubungan melibatkan seramai 247 KIR,” katanya.
PGO berkata keseluruhannya di Daerah Pantu, sebanyak 10 rumah panjang telah terputus hubungan akibat bencana banjir.
Dalam pada itu, BBP Sri Aman yang diketuai oleh Pegawai Bomba Kanan I, Noor Faqriakmal bersama tiga anggota lain turut bersama dalam misi menghantar bantuan makanan kepada mangsa banjir di Daerah Pantu itu.
Selain bomba, antara agensi yang terlibat iaitu Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), polis, Pejabat Daerah Pantu dan 12 anggota tentera.