MACHAN: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Machan, Allan Siden Gramong, bersama isterinya, Dinamicayanti Daris, melawat beberapa kawasan yang terjejas akibat kejadian tanah runtuh dan banjir yang melanda daerah Machan baru-baru ini.
Semasa lawatan tersebut, Allan dan isterinya mengunjungi Rumah Morris Jubit di Batu Luking yang terkesan dengan tanah runtuh pada 2.00 pagi Rabu lalu.
Kejadian tersebut menyebabkan kerosakan pada bahagian hadapan rumah panjang yang terdiri daripada 13 pintu.
Selain itu, beliau turut meninjau beberapa jalan yang terputus akibat banjir dan tanah runtuh, termasuklah jalan runtuh di Rumah Surat dan SMK Kanowit, serta jalan-jalan utama seperti Jalan Lipus, Melipis, Rantau Kemiding dan Mam yang juga terjejas.
Lawatan diteruskan ke Rumah Jelita Jipun Serugin, yang mana paras air telah meningkat sehingga dua kaki di jalan masuk dan empat kaki di penghujung jalan.
Allan juga meluangkan masa untuk melawat Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di Kompleks Sukan Kanowit, yang kini menempatkan 26 ketua isi rumah dan 81 mangsa banjir.
Turut hadir, Ketua Polis Daerah Kanowit, DSP Dennis Bunyam.
Oleh Tarani Lanting