MALUDAM: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lingga, Dayang Noorazah Awang Sohor turun padang bagi melakukan tinjauan di lokasi kawasan yang terjejas banjir di Kampung Maludam, hari ini.
Katanya, antara kawasan terjejas adalah Kampung Tanjung Baru Maludam, Kampung Sungai Daun dan Kampung Sungai Mulon.
“Situasi di Kampung Tanjung Baru Maludam, paras air di kawasan tersebut berada pada paras pinggang, manakala di Kampung Sungai Daun dan Sungai Mulon paras air pada paras lutut.
“Namun, keadaan banjir di Maludam masih terkawal, cuma dikhuatiri paras air akan meningkat sekiranya hujan berterusan dan bertembung dengan fenomena air pasang besar setinggi 6.1 meter,” katanya.
Dayang Noorazah berkata, kejadian banjir di sekitar Daerah Maludam dijangka akan berterusan beberapa hari lagi kerana limpahan air sungai serta hujan berterusan dan pertembungan air pasang besar, selain sistem saliran yang masih kurang memuaskan.
“Saya juga telah memberi nasihat kepada penduduk supaya sentiasa berwaspada dan berhati-hati serta peka terhadap keadaan cuaca yang tidak menentu masa kini, lebih-lebih lagi keadaan hujan yang berterusan.
“Saya juga menasihati penduduk terutama yang tinggal di kawasan rendah supaya mengambil langkah berjaga-jaga dan sentiasa berada dalam keadaan siap sedia menghadapi musim banjir.
“Penduduk perlu bersedia mengemas dan memindahkan barangan masing-masing dan apabila diarahkan oleh pihak berkuasa berpindah, mereka perlu segera bertindak.
“Trend hujan kini juga menunjukkan peningkatan dan paras air sungai berdekatan kampung dijangka terus meningkat,” katanya.
Dalam pada itu, Dayang Noorazah turut menyampaikan sumbangan bakul makanan kepada penduduk yang terjejas banjir di Maludam.
Oleh Adi Safarman