SIBU: Hujan lebat berterusan, air pasang besar punca beberapa jalan di bandar ini dinaiki air.
Pengerusi Majlis Perbandaran Sibu, Clarence Ting Ing Horh berkata, antara jalan yang terjejas adalah Jalan Ling Kai Cheng, Jalan Khoo Peng Loong, Jalan Hua Khiew, dan Jalan Merlin.
“Jalan-jalan lain yang turut terjejas termasuk Jalan Belian, Jalan Camar, Jalan Maling, Jalan Kiong Tung, Jalan Lanang, Jalan Ulu Sungai Merah, dan Jalan Sentosa,” katanya dalam hantaran di Facebook, hari ini.
Sementara itu, Ketua Zon 4 Jabatan Bomba dan Penyelamat (BOMBA), Andy Alie, ketika dihubungi berkata, keadaan masih terkawal buat masa ini, dan jabatan beliau belum menerima sebarang laporan berkaitan banjir daripada penduduk.
“Orang ramai dinasihatkan untuk berhati-hati, terutamanya mereka yang tinggal di kawasan rendah dan berhampiran sungai,” katanya.
Sehubungan itu, orang ramai diseru untuk mengutamakan keselamatan dan sentiasa mengikuti perkembangan cuaca serta arahan pihak berkuasa.
Setakat ini, di Bahagian Sibu, sebanyak lima pusat pemindahan sementara (PPS) telah dibuka, dengan 983 orang telah dipindahkan.
Oleh Tarani Lanting