BAU: Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di Balai Raya Kampung Pangkalan Melayu, Bau kini menempatkan seramai 21 mangsa daripada enam keluarga yang terjejas akibat banjir.
Menurut laporan yang dikeluarkan oleh Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Daerah Bau, PPS tersebut dibuka pagi semalam.
Mangsa yang ditempatkan terdiri daripada 11 orang dewasa, lima kanak-kanak dan lima warga emas.
Keadaan cuaca di lokasi dilaporkan baik dan tiada perubahan dalam jumlah mangsa di PPS setakat jam 6.00 petang tadi.
Dalam perkembangan berkaitan, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tasik Biru, Dato’ Hendry Jinep telah melawat PPS tersebut pada jam 4:05 petang bagi memberi sumbangan dan bertanya khabar kepada mangsa.