BINTULU: Jangan ambil risiko menunggu sehingga keadaan bertambah buruk.
Itu ingatan Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas kepada penduduk di kawasan terjejas banjir untuk segera berpindah ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS).
“Mereka tidak harus mengambil risiko menunggu sehingga keadaan bertambah buruk.
“Keselamatan nyawa perlu diutamakan kerana air boleh naik secara mendadak tanpa amaran.
“Keutamaan kita adalah menyelamatkan nyawa. Air boleh naik tanpa amaran, dan jika penduduk berkeras untuk kekal, situasi boleh menjadi malapetaka.
“Setakat ini, kita bersyukur kerana tiada sebarang insiden kehilangan nyawa,” katanya ketika meninjau mangsa banjir di PPS Dewan Suarah Bintulu bersama Timbalan Perdana Menteri, Dato Sri Fadillah Yusof, petang tadi.
Menurut Uggah, tindakan segera penduduk untuk berpindah serta gerak kerja pantas pasukan keselamatan telah memastikan tiada kehilangan nyawa dilaporkan setakat ini.
Namun, beliau menegaskan risiko masih ada sekiranya penduduk enggan berpindah.
“Jika air naik mendadak, pasukan penyelamat mungkin menghadapi kesukaran untuk membantu.
“Jangan tunggu sehingga keadaan menjadi buruk,” katanya lagi.
Dalam pada itu, beliau turut mengingatkan mangsa yang mengalami simptom seperti demam atau penyakit lain supaya segera mendapatkan rawatan daripada petugas kesihatan di PPS.
“Keadaan banjir boleh menyebabkan penyakit mudah merebak.
“Jangan ambil ringan jika ada tanda-tanda kesihatan terjejas. Laporkan segera kepada pasukan perubatan yang bertugas,” katanya.
Oleh Carolyne Utih