TATAU: Keadaan banjir di Tatau semakin meruncing dengan jumlah mangsa yang dipindahkan ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Dewan SMK Tatau meningkat kepada 392 orang daripada 116 Ketua Isi Rumah (KIR) setakat 5.17 petang tadi.
Mangsa terdiri daripada penduduk dari Kampung Dagang Tatau, Kampung Baru Tatau, Kampung Seberang Tatau, serta mangsa tanah runtuh dari Rumah Panjang Cherurai, Tatau yang kini ditempatkan di PPS berkenaan.
Pegawai Daerah Tatau merangkap Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah (JPBD) Tatau, Calvin Ligong mengumumkan pembukaan rasmi PPS Dewan SMK Tatau pada 29 Januari lalu, berikutan situasi banjir yang semakin memburuk.
PPS Dewan SMK Tatau adalah pusat pemindahan kedua selepas PPS Rumah Steven Jeli yang telah menempatkan 34 orang daripada 13 keluarga dari SK Kuala Muput sejak 23 Januari lalu.
Antara agensi yang ada di PPS Dewan SMK Tatau adalah seperti Pejabat Daerah Tatau, Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Kementerian Kesihatan (KKM), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), dan RELA.
Hujan yang berterusan sejak malam kelmarin menyebabkan paras air di Batang Anap dan Sungai Kakus terus meningkat, dengan Pekan Tatau mencatatkan paras air di tahap bahaya berdasarkan laporan dari Jabatan Pengairan dan Saliran (DID) pada 4.45 petang tadi.
Oleh Carolyne Utih