SIBU: Lebih 10,000 pengunjung dari pelbagai lapisan masyarakat memeriahkan Majlis Rumah Terbuka Parti Demokratik Progresif (PDP) sempena sambutan Tahun Baharu Cina yang berlangsung di Pusat Komersial Pulau Li Hua, di sini, hari ini.
Orang ramai mula membanjiri pekarangan pusat komersial seawal 7.30 pagi bagi menyertai majlis yang bermula dari 8.00 pagi hingga 1.00 petang.
Ketibaan tetamu disambut mesra oleh Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya merangkap Presiden PDP, Datuk Seri Tiong King Sing, yang turut meluangkan masa beramah mesra dengan hadirin.
Pelbagai juadah istimewa seperti mi goreng, ayam panggang, limau mandarin, dan hidangan lain turut disediakan kepada pengunjung.
Majlis ini bertujuan mempererat hubungan antara pemimpin dan masyarakat, selaras dengan semangat perpaduan dalam kepelbagaian budaya di Malaysia.
Turut hadir pada majlis itu ialah Timbalan Yang di-Pertua Dewan Rakyat merangkap Ahli Parlimen Lanang Alice Lau, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bawang Assan Dato Sri Wong Soon Koh, Timbalan Menteri Pengangkutan Dato Henry Harry Jinep, ADUN Krian Friday Belik, ADUN Engkilili Dr Johnical Rayong Ngipa, dan ADUN Bukit Assek Joseph Chieng.
Oleh Tarani Lanting