KUCHING: Jumlah pusat pemindahan sementara (PPS) di Sarawak meningkat kepada 34 susulan hujan berterusan, hari ini.
Menurut laporan Angkatan Pertahanan Awam (APM) Sarawak, 32 PPS itu dibuka bagi menempatkan mangsa banjir di Bahagian Bintulu, Serian, Samarahan, Kuching, Miri dan Sibu manakala dua lagi PPS dibuka masing-masing untuk mangsa kebakaran dan tanah runtuh.
Katanya, setakat laporan 4 petang, sebanyak 522 ketua isi rumah membabitkan seramai 1,823 mangsa telah dipindahkan ke PPS yang disediakan.
“PPS yang dibuka di seluruh Sarawak ialah sebanyak lima PPS di Bahagian Bintulu, Serian (15), Samarahan (empat), Kuching (tiga), Miri (empat) dan Sibu (dua).
“Sementara itu, satu PPS di Miri iaitu di Pusat Bulan Sabit Merah turut dibuka untuk menempatkan mangsa tanah runtuh, manakala satu PPS di Dewan Datuk Aaron Bawan Kanowit dibuka bagi menempatkan mangsa kebakaran,”katanya dalam satu kenyataan.
Setakat berita ini ditulis, data mangsa masih dalam proses kemas kini dan akan dimaklumkan dari semasa ke semasa.