SARATOK: Sebanyak 25 projek di bawah program Projek Transformasi Luar Bandar (RTP) Kerajaan Sarawak berjumlah RM5 juta telah diluluskan untuk kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kalaka bagi 2020.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kalaka, Datuk Abdul Wahab Aziz berkata, daripada jumlah tersebut RM2.06 juta diperuntukkan bagi menaik taraf dan membina baharu surau dan masjid, manakala selebihnya iaitu RM2.94 juta bagi kerja menaik taraf jalan kampung, baik pulih bangunan sekolah, membina baharu dewan terbuka, membina jalan pertanian dan banyak lagi.
“Sebanyak 25 projek RTP dengan kos sebanyak RM5 juta telah diluluskan pada 2020 bagi DUN Kalaka.
“Projek RTP ini telah berjaya memberi manfaat dan keselesaan kepada penduduk terutamanya di kawasan kampung dan rumah panjang serta sekolah di kawasan Kalaka,” katanya.
Abdul Wahab berkata, pelaksanaan projek RTP yang dimulakan sejak 2015 hingga tahun ini, berjalan lancar di kawasan DUN Kalaka, sekali gus memberi manfaat dan keselesaan kepada masyarakat setempat.
Menurutnya, semua projek RTP yang diluluskan tersebut membuktikan Kerajaan Sarawak prihatin dengan keperluan masyarakat di kawasan luar bandar.
“Peruntukan RTP sebanyak RM5 juta ini akan mampu memacu pembangunan di setiap kawasan di konstituensi Kalaka.
“Pelaksanaan program pembangunan RTP itu banyak membawa arus perubahan, kemajuan dan pembangunan ke kawasan luar bandar di seluruh pelosok Sarawak, amnya.
“Pelan pembangunan ini memainkan peranan yang amat penting dalam usaha kerajaan dalam merapatkan jurang pembangunan bagi kawasan luar bandar dengan bandar,” ujarnya.
Kata Abdul Wahab, bagi kawasan DUN Kalaka, kebanyakan peruntukkan RTP dimanfaatkan untuk pelaksanaan projek pembangunan di kawasan luar bandar yang merangkumi langkah pemantapan kemudahan infrastruktur seperti menaik taraf kemudahan jalan raya, menaik taraf sekolah dan sebagainya.
“Selain itu, ia turut disalurkan kepada para penduduk yang memohon bantuan untuk membaiki rumah panjang, rumah kampung, gereja, surau, masjid, dewan dan sebagainya,” katanya.
Oleh itu, Abdul Wahab berharap kerjasama dan kesabaran daripada semua pihak amat penting dalam memastikan usaha ini mencapai sasaran dan semua mendapat inmpak yang positif daripada perkara ini.
Mengimbau sejarah bermulanya Projek RTP di Sarawak, Abdul Wahab menegaskan ia adalah merupakan cetusan idea mantan Ketua Menteri Sarawak Allahyarham Tok Nan yang telah bermula dilaksanakan pada tahun 2015.
“Fokus utama RTP ialah kawasan luar bandar yang masih jauh ketinggalan dari segi pembangunan infrastruktur seperti jalan, jambatan, benteng, tapak rumah panjang baharu, bangunan dan sebagainya,” ujarnya.
Katanya, peruntukan projek RTP adalah berupa projek yang melibatkan amaun RM5 juta bagi setiap ADUN setahun dan, bukan dalam bentuk wang tunai yang disalurkan terus kepada ADUN kawasan seperti mana yang selalu dicanangkan oleh sesetengah pihak sebelum ini.
“Setiap tahun ADUN kawasan akan menghantar senarai cadangan projek kepada Residen Bahagian untuk tujuan kompil dan kelulusan Unit Perancang Ekonomi (EPU) Sarawak,” jelasnya lagi.
Tambah Abdul Wahab, seperti kawasan ADUN lain di Sarawak, DUN Kalaka juga tidak pernah ditinggalkan dalam arus pembangunan melalui RTP dan selain daripada RTP, DUN Kalaka juga turut menikmati pembangunan melalui pelbagai agensi kerajaan yang lain seperti Projek Rakyat dan sebagainya.
“Kita di peringkat pemimpin dan rakyat amat menyanjungi Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg kerana menyinambungi usaha Tok Nan dan meneruskan Projek RTP dalam mencapai matlamat mendekatkan jurang pembangunan di antara kawasan luar bandar dan bandar,” tegasnya.