SARATOK: Berkumpul bersama keluarga, menikmati makan besar dan bertemu dengan rakan-rakan, sanak saudara serta memberi dan menerima ‘angpau’ adalah sesuatu yang sangat dinanti-nantikan tidak kira bagi yang tua mahupun yang muda semasa sambutan Tahun Baharu Cina (TBC).
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kalaka, Mohamad Duri berkata dalam konteks kita di Malaysia, setiap perbezaan kehidupan, budaya dan kepercayaan, tidak seharusnya mengasingkan kita daripada rasa hormat dan meraikan majlis rakan-rakan daripada kaum lain.
Sebaliknya, beliau berkata ia akan membuat kita lebih menghargai serta memerlukan satu sama lain yang akan melahirkan sifat bantu membantu dalam banyak perkara.
“TBC bukan sekadar perayaan, tetapi ia membawa makna mendalam sebagai simbol kebahagiaan, permulaan baharu dan harapan untuk tahun yang lebih baik.
“Perayaan ini juga menjadi kesempatan untuk mempereratkan hubungan silaturahim, bukan sahaja dalam kalangan masyarakat Tiong Hua tetapi juga seluruh rakyat Malaysia,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa berucap semasa berucap pada majlis Sejambak Kasih
TBC Bahagian Betong di Dewan Pejabat Daerah Saratok, kelmarin yang telah dirasmikan oleh Timbalan Menteri Pembangunan Kesejahteraan Komuniti, Datuk Mohammad Razi Sitam.
Mohamad Duri berkata sebagai wakil rakyat, adalah menjadi tanggungjawab kami dalam kepimpinan Gabungan Parti Sarawak (GPS) untuk memastikan kebajikan rakyat sentiasa menjadi keutamaan.
“Sumbangan bakul makanan pada hari ini adalah salah satu inisiatif kecil yang bertujuan untuk meringankan beban dan menceriakan sambutan TBC bagi mereka yang memerlukan.
Bakul makanan ini bukan sekadar bantuan material, tetapi juga tanda sokongan dan kasih sayang kami kepada anda semua. Kami mahu memastikan bahawa tiada seorang pun yang tertinggal atau terabai, terutamanya dalam saat-saat istimewa seperti ini,” katanya.
Mohamad Duri berharap agar semangat perpaduan, keharmonian dan keprihatinan yang kita pupuk pada hari ini akan terus mekar dalam masyarakat kita.
“Mari kita jadikan TBC ini sebagai permulaan kepada sebuah tahun yang penuh peluang dan kejayaan bersama.
“Di kesempatan ini, saya ingin mengucapkan Selamat Tahun Baharu Cina kepada semua yang menyambutnya. Semoga tahun ini membawa rezeki yang melimpah, kesihatan yang baik dan kebahagiaan berpanjangan kepada semua,” katanya.