SIBU: Pusat Khidmat Bukit Assek akan mengadakan Majlis Rumah Terbuka Tahun Baharu Cina pada 2 Februari ini, bermula 6.00 petang di Lorong Tong Sang 1.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Assek, Joseph Chieng, berkata acara tersebut terbuka kepada semua lapisan masyarakat tanpa mengira kaum, bagi meraikan kemakmuran dan perpaduan rakyat Malaysia.
“Kehadiran lebih 1,500 pengunjung dijangka kerana jumlah pengunjung semakin bertambah setiap tahun sejak acara ini dimulakan,” katanya dalam sidang media hari ini.
Menurutnya, penganjuran majlis seumpama ini dapat memperkukuh hubungan antara kaum serta menggalakkan pemahaman terhadap budaya dan tradisi setiap kumpulan.
Beliau turut menjemput orang ramai untuk hadir dan memeriahkan acara tersebut, yang akan diisi dengan pelbagai persembahan budaya Cina.
“Selain itu, kami juga menyediakan cabutan bertuah dengan pelbagai hadiah menarik seperti peti sejuk (hadiah pertama), mesin basuh (kedua), telefon bimbit (ketiga), ketuhar, kipas, dan banyak lagi.
“Pemenang yang berjaya harus hadir pada malam tersebut dengan membawa kad pengenalan untuk menuntut hadiah mereka,” jelasnya.
Mengenai Tahun Ular, Chieng berkata tahun ini melambangkan kecerdikan, kepintaran, serta kemajuan yang pesat dan progresif.
“Ini adalah masa yang penting bagi negara kita selepas era pasca COVID-19 untuk mengejar pembangunan, terutamanya dalam bidang ekonomi.
“Kami berharap Tahun Ular membawa kemakmuran, perpaduan dan kebahagiaan untuk seluruh rakyat Malaysia,” tambahnya.
Turut hadir, Pengerusi Parti Rakyat Sarawak Bersatu (SUPP) Cawangan Bukit Assek, Dato Chieng Buong Toon dan Ahli Majlis Perbandaran Sibu (MPS), Kaunselor Kiing Teck Ho.
Oleh Tarani Lanting