SARATOK: Jabatan kebajikan Masyarakat (JKM) Sarawak telah membelanjakan sebanyak RM38.434 juta untuk 10,787 kes penerima bantuan sepanjang 2024, manakala peruntukan berjumlah RM220 juta adalah daripada sumber Kerajaan Persekutuan untuk 45,257 kes pada tahun yang sama.
Timbalan Menteri Pembangunan Kesejahteraan Komuniti Sarawak Datuk Mohammad Razi Sitam berkata jumlah keseluruhan penerima bantuan dikendalikan oleh JKM Sarawak adalah 56,044 pada 2024.
“Daripada jumlah tersebut perinciannya adalah bagi penerima bantuan warga emas (BWE) dengan kadar bantuan RM500 (kadar 2024) sebulan berjumlah 21,192 penerima untuk jumlah peruntukan RM123.646 juta.
“Bagi Bantuan kanak-kanak (BKK) kadar (RM150.00 sehingga RM1,000) bergantung kepada tangungan anak dan umur anak mengikut garis panduan ditetapkan pula sebanyak 7,085 kes malahan kerajaan negeri membuat penambahan peruntukan sebanyak
RM50.
“Bagi skim BKK ini peruntukan yang telah disalurkan oleh kerajaan negeri adalah sebanyak RM4.012 juta untuk penambahan dan Kerajaan Persekutuan telah menyalurkan RM28.146 juta,” katanya semasa berucap merasmikan majlis Sejambak Kasih Tahun Baharu Cina Bahagian Betong di Dewan Pejabat Daerah Saratok, hari ini.
Razi menjelaskan skim yang ketiga adalah skim Bantuan Am (BA) dengan kadar RM200 hingga RM300 sebulan yang mana pada 2024 sebanyak 10,779 kes dikendalikan manakala perbelanjaaan kerajaan negeri sepenuhnya adalah sebanyak RM28.146 juta telah dibelanjakan.
“Seterusnya skim keempat adalah Bantuan Elaun Pekerja Orang Kurang Upaya (EPOKU) sebanyak RM450 sebulan, dimana RM18.390 juta telah disalurkan peruntukan Kerajaan Persekutuan untuk 3,524 kes.
“Skim seterusnya adalah Skim Bantuan Penjagaan OKU/Pesakit Kronik Terlantar (BPT) kadar RM500 sebulan yang mencatat kes 2,512 dan perbelanjaan diperuntukkan adalah RM14.054 juta.
“Bagi tahun yang sama 2024, skim bantuan yang keenam adalah Bantuan OKU Tidak Berupaya Bekerja (BTB) dengan kadar bantuan RM300 sebulan daripada Kerajaan Persekutuan dan penambahan RM50 daripada kerajaan negeri melibatkan seramai 10,920 kes direkodkan dengan perbelanjaan kerajaan negeri RM6.271 juta, manakala Kerajaan persekutuan adalah RM37.632 juta.
“Skim seterusnya adalah anak pelihara (BAP) kadar RM250-500 sebulan hanya 24 kes dicatatkan peruntukan yang telah dibelanjakan adalah RM60,750 dan yang terakhir skim Bantuan Belia-beliawanis adalah RM200 sebulan hanya 12 kes direkodkan, dan perbelanjaan adalah RM3,200,” katanya.
Razi berkata jumlah peruntukan Kerajaan Persekutuan dan negeri adalah RM258.491 juta bagi jumlah kes 56,044. Untuk Bahagian Betong bagi 2024 sahaja peruntukan keseluruhan yang telah dibelanjakan adalah RM21.475 juta untuk kes sebanyak 4,713 bagi kelapan-lapan skim bantuan.
“Perincian untuk Betong 3,007 kes yang melibatkan jumlah peruntukan dibelanjakan RM1.171 juta dan Daerah Saratok sebanyak 1,706 kes dengan jumlah perbelanjaan sebanyak RM673,250. Oleh itu, diharap bantuan dan program seperti ini dapat memberi manfaat kepada klien dan yang memerlukan,” katanya.
Razi berkata Pejabat Kebajikan Masyarakat Bahagian Betong telah merekodkan untuk program Sejambak Kasih Tahun Baharu Cina ini seramai 281 penerima bantuan bulanan kebajikan yang berbangsa Cina telah dikenal pasti bagi Bahagian Betong.
Dalam majlis tersebut, seramai 76 penerima berbangsa Cina di Daerah Saratok telah dijemput, dan selebihnya akan disalurkan melalui akaun bank yang berjumlah RM100 termasuk hamper untuk membantu sedikit sebanyak beban dan menggembirakan klien tibanya musim perayaan utama bangsa Cina ini.
Turut hadir, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kalaka, Mohamad Duri; ADUN Krian, Friday Belik; Residen Bahagian Betong, Richard Michael Abunawas; Pegawai Daerah Saratok, Muhammad Dino Amid dan Pegawai JKM Bahagian Betong, Abdul Shamat Kassim.
Oleh ADI SAFARMAN