SIBU: Cawangan Pencegahan Jenayah dan Koordinasi Sumber Sokongan, Bahagian Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sibu melaksanakan program ‘Meet and Greet’ dalam usaha berterusan membanteras jenayah dan meningkatkan kesedaran keselamatan di kalangan masyarakat.
Program melibatkan Unit MPV dan URB ini bertujuan mendekati komuniti setempat dengan memberi penerangan mengenai langkah-langkah pencegahan jenayah, terutamanya dalam kes kecurian kenderaan, khususnya kereta dan motosikal.
Ketua Polis Daerah Sibu, ACP Zulkipli Suhaili, berkata, program ini turut menggariskan beberapa langkah penting dalam mencegah jenayah kecurian kenderaan.
Antaranya, memastikan kenderaan berkunci sepenuhnya, mengelakkan meletakkan kenderaan di kawasan berisiko tinggi, serta tidak meninggalkan barangan berharga di dalam kenderaan.
“Kesedaran komuniti adalah kunci dalam usaha membanteras jenayah.
“Masyarakat perlu sentiasa peka terhadap persekitaran dan melaporkan sebarang aktiviti mencurigakan kepada pihak polis,” kata Zulkipli dalam satu kenyataan yang dikongsikan melalui Facebook.
Program ini mendapat sambutan yang positif daripada orang ramai yang hadir, yang berharap agar inisiatif sebegini dapat diteruskan pada masa hadapan.
Zulkipli juga menyeru agar kerjasama erat antara pihak berkuasa dan masyarakat terus diperkukuhkan untuk memastikan keselamatan bersama.
“Saya yakin dengan kerjasama ini, kadar jenayah di kawasan Sibu dapat dikurangkan, sekali gus meningkatkan tahap keselamatan di daerah ini,” tegasnya.
Program ini turut mencerminkan usaha berterusan IPD Sibu untuk memupuk kesedaran keselamatan serta membina hubungan yang lebih erat dengan masyarakat.
Oleh Tarani Lanting