SEBAUH: Pasukan Angkatan Pertahanan Awam (APM) Sebauh bersama agensi lain menghantar bantuan kepada mangsa kebakaran Rumah Beji Utek di sini, malam tadi.
Kebakaran yang berlaku pada malam tadi itu telah memusnahkan 10 bilik daripada 11 pintu rumah panjang tersebut, namun tidak melibatkan sebarang kecederaan atau kemalangan jiwa.
Susulan insiden itu, pihak berkuasa menghulurkan bantuan berupa makanan kering dan keperluan asas.
Pegawai Pertahanan Awam Bahagian Bintulu Kapten (PA) Mohd Johari Mohd Taufik berkata, sebanyak 10 set bantuan makanan kering, serta keperluan asas seperti selimut, tilam, dan bantal disediakan oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).
Sebanyak 10 set kit makanan permulaan turut diserahkan oleh pasukan APM kepada tuai rumah untuk disalurkan kepada penduduk terjejas.
Selain itu, agensi yang turut terlibat dalam penghantaran bantuan termasuk Pejabat Daerah Sebauh, Polis Bintulu, Marin Bintulu, Bomba Bintulu, dan JKM Bintulu.
“Mereka (mangsa) kini menumpang di rumah saudara mara dan ada yang pulang ke Bintulu.
“Tiada pusat pemindahan sementara (PPS) dibuka buat masa ini,” kata Johari.
Setakat kini, pengumpulan data penduduk terjejas masih diteruskan, dan pihak berkuasa akan terus memantau situasi untuk memastikan bantuan mencukupi.