SIBU: Media arus perdana memainkan peranan penting dalam memastikan penyebaran maklumat yang sahih dan tepat.
Ahli Parlimen Sibu, Oscar Ling berkata, perbezaan utama antara media arus perdana dan media sosial adalah kaedah penyampaian berita yang sudah mendapat pengesahan pelbagai pihak.
Katanya, peranan media arus perdana tidak boleh diganti walaupun media sosial meningkat.
“Walaupun media sosial berleluasa, berita palsu dan maklumat salah semakin berleluasa dan serius.
“Media sosial telah menyebabkan gelombang maklumat salah dan berita palsu. Justeru, orang ramai masih perlu bergantung kepada media arus perdana kerana ia boleh dipercayai,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa berucap pada malam media sempena sambutan Tahun Baharu Cina di salah sebuah hotel terkemuka, di sini malam tadi.
Majlis tersebut dihadiri lebih 30 pengamal media di Sibu.
Beliau berterima kasih kepada pengamal media atas kegigihan dan usaha berterusan mereka dalam bidang media arus perdana.
“Terima kasih atas usaha anda dalam membina masyarakat kita dan membentuk pendapat umum. Saya percaya ini sangat penting,” katanya.
Berucap sama pada majlis tersebut, bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Assek, Irene Chang berkata, secara tradisinya, kebanyakan media cetak berfungsi sebagai suara kerajaan.
“Kewartawanan telah pergi jauh. Hari ini, kita melihat suara pembangkang dan rakyat biasa diwakili dalam media.
“Ini mewujudkan kesedaran sosial tentang perkara yang betul dan fakta, dan ini adalah peranan penting media,” katanya.
Beliau berharap pengamal media akan meneruskan kerja baik mereka dan bekerjasama dengan orang ramai untuk menyebarkan maklumat yang tepat.
Oleh Akun Giman