KUCHING: Telekom Malaysia Berhad (TM) baru-baru ini telah menamatkan ‘unifi Mobile – Year End Giveaway Campaign’ dan untuk pengumuman pemenangnya, TM Sarawak baru-baru ini mengadakan upacara penyampaian hadiah untuk sepuluh pelanggan unifi Mobile bertuah yang baharu mendaftar untuk pelan unifi Mobile.
Sepuluh pemenang tersebut berpusat di Sarawak adalah antara 72 pelanggan unifi Mobile bertuah baharu yang telah diumumkan sebagai pemenang untuk kempen bermula 20 hingga 31 Disember 2019.
Pengurus Besar Negeri, TM Sarawak, Jafer Sadig Abdul Lathiff telah menyampaikan hadiah kepada pemenang pada majlis yang diadakan di TMpoint Batu Lintang di Kuching.
Upacara serupa juga diadakan secara berasingan di Sibu, Miri dan Bintulu untuk memberi penghargaan kepada pemenang dari kawasan masing-masing kerana pematuhan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
Menurut Jafer Sadig, beliau mengucapkan tahniah kepada semua pemenang dan kempen ini adalah salah satu usaha berterusan mereka untuk menghargai pelanggan Unifi Mobile.
“Yakinlah, TM akan terus menawarkan peluang yang lumayan seperti ini, bukan sahaja kepada pelanggan baharu tetapi juga kepada semua pelanggan TM pada masa akan datang. Jadi, nantikan unifi!,” katanya.
Mengulas lanjut, beliau berkata, dalam fasa tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) baru-baru ini, pelanggan unifi Mobile telah menikmati internet percuma untuk memastikan mereka sentiasa berhubung dan produktif semasa tinggal di rumah, sejajar dengan Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (PRIHATIN).
“Bagi pelanggan pascabayar unifi Mobile, mereka menerima pas hotspot 999GB LTE percuma sehingga 30 Jun 2020 sementara pelanggan prabayar unifi Mobile #BEBAS menerima pas data tanpa had selama tujuh hari percuma sehingga 9 Jun 2020.
“Berikutan pengumuman baru-baru ini oleh kerajaan mengenai internet percuma di bawah inisiatif PENJANA, unifi juga menyediakan akses percuma, pas 1GB LTE sehari untuk digunakan bermula 8.00 pagi hingga 6.00 petang setiap hari untuk semua pelanggan aktif pascabayar Unifi Mobile dan unifi Mobile #BEBAS.
“TM akan terus menyesuaikan produk dan penawaran perkhidmatannya untuk membantu pelanggan kami menyesuaikan diri dengan ‘norma baharu’, bila diperlukan,” tambahnya.
‘unifi Mobile – Year End Giveaway Campaign’ menawarkan peluang kepada pelanggan unifi Mobile baharu di seluruh negara untuk memenangi 12 unit telefon pintar Samsung Galaxy Fold dan 60 unit telefon pintar Vivo Y11 yang mana tiga pemenang hadiah utama untuk kempen itu berasal dari Sarawak.
Hadiah utama telefon pintar Samsung Galaxy Fold bernilai RM8,388 masing-masing dimenangi oleh Joan Tieu Wan Qi, Chieng Heng Sek dan Ting Kah Soon dari Sibu dan Sarikei.
Tujuh lagi pemenang masing-masing menerima unit telefon pintar Vivo Y11 baharu. Mereka ialah Chai We Mine, Jason Khoo Nyak Jia, Kho Siang Yong, Muhammad Shafiq Tumingan, Mohd Helmi Abdul Wahab, Jammy Jurgen Ng Choon Hung dan Dayang Nurnawaddah Wahab.
Oleh Cheryl Law