AKUN GIMAN
MATU: Ahli Parlimen Igan, Ahmad Johnie Zawawi mengambil inisiatif murni memulakan ‘Program Beli Hasil Tani’ daripada penduduk di kawasan kampung terbabit untuk membantu sambil menderma.
“Tiga hari berada di kawasan, saya berkesempatan bertemu dengan beberapa orang Ketua Masyarakat di Daro, Matu dan Kampung Igan. Saya juga bertemu dengan Pegawai Daerah Matu dan Daro selaku Pengerusi Jawatankuasa Bencana Peringkat Daerah.
“Setelah berbincang dan mendengar pandangan mereka semua, saya telah mengambil beberapa tindakan berikut dengan niat semata-mata ingin membantu sambil menderma,” jelasnya ketika dihubungi oleh pemberita semalam.
Menurutnya, beliau akan membeli semua berbagai-bagai jenis sayuran yang ditanam sendiri oleh orang kampung.
“Tujuannya, adalah untuk membantu pekebun-pekebun kecil ini menjual segala hasil tanaman mereka yang sukar untuk dipasarkan semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang mencabar ketika ini,” ujarnya.
Sebagai permulaan katanya, ‘Program Beli Hasil Tani’ itu dimulakan dengan Kampung Jemoreng, Kampung Badong dan Kampung Igan.
“Untuk menjual hasil tanaman mereka, sila berhubung dengan Penghulu Masaleh Sahdan (Kampung Jemoreng), Penghulu Rahmah Ras (Kampung Igan) dan Ketua Kampung Haslimin Hassan (Kampung Badong).
“Semua hasil tani yang dibeli akan diagihkan ke rumah-rumah orang kampung mengikut budi bicara Ketua Masyarakat di Kampung berkenaan,” ujarnya.
Katanya lagi, selain itu beliau juga telah bertemu dengan beberapa orang pengusaha mi kuning, roti canai, cakoi dan kek.
“Ini adalah bagi membekal jualan mereka untuk diagihkan ke rumah-rumah orang kampung yang akan dikenalpasti oleh Pusat Khidmat P.207 Igan semasa PKP ini.
“Sesungguhnya usaha murni ini kecil kerana kemampuan yang terbatas. Walaupun kecil, niat saya adalah semata-mata ingin membantu pengusaha yang terputus sumber rezeki mereka sepanjang tempoh PKP ini. Marilah kita sama-sama berganding bahu membantu sambil menderma.
“Akhir sekali, jika ada yang tidak mendapat bukan bererti tercicir namanya, akan tetapi kerana kemampuan saya yang terhad, mohon difahami. Semoga niat ikhlas ini dipermudahkan Allah SWT segala urusannya,” ujar beliau.
Beliau sekali lagi menasihatkan semua penduduk di kawasan terbabit supaya sentiasa mematuhi PKP bagi memutuskan rangkaian Covid-19.