KUCHING: Yang di-Pertua Negeri, Tun Pehin Sri Dr. Wan Junaidi Tuanku Jaafar, dan isteri Toh Puan Datuk Patinggi Fauziah Mohd. Sanusi, pagi ini telah menghadiri majlis pembukaan Tahunan Perundangan Syariah Sarawak 2025 di Dewan Majma’ Tuanku Abdul Halim Mu’adzam Shah.
Majlis yang julung kali diadakan ini bertujuan memperkukuh dan memperkasa institusi keadilan Islam di negeri Sarawak.
Dalam acara tersebut, Tun Wan Junaidi menyampaikan Syarahan Negarawan yang memfokuskan pada langkah-langkah strategik untuk memperkasa Mahkamah Syariah, termasuk penambahbaikan dalam perundangan, penyelarasan prosedur pentadbiran, dan peningkatan kompetensi pengamal undang-undang Syariah.
Beliau juga berdoa agar usaha-usaha ini dapat memenuhi keperluan masyarakat Islam serta memastikan pelaksanaan keadilan Islam secara berkesan.
Majlis tersebut turut dihadiri oleh Timbalan Menteri Utiliti dan Telekomunikasi (Utiliti) Datuk Dr. Abdul Rahman Junaidi bersama isteri, Datin Siti Shorgayah Ahmad Zaidin, Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Integriti dan Ombudsman) Datuk Dr. Juanda Jaya, Ketua Hakim Syarie Sarawak Datuk Awang Suhaili Ledi, Peguam Besar Negeri Sarawak Dato’ Sri Saferi Ali, Ketua Pendakwa Syarie Jabatan Agama Islam Sarawak serta Pengerusi Persatuan Peguam Syarie Sarawak, selain hakim-hakim syarie.
Majlis ini turut menjadi platform penting untuk membincangkan hala tuju perundangan Syariah di Sarawak serta usaha mempertingkatkan kecekapan dan keberkesanan sistem keadilan Islam di negeri ini.
Semoga dengan terlaksananya usaha ini, sistem perundangan Syariah di Sarawak dapat terus berkembang, berdaya saing, dan memberi manfaat yang besar kepada masyarakat Islam di negeri ini.