BINTULU: Pusat Latihan Teknologi Tinggi (ADTEC) Bintulu mengadakan kunjungan hortmat ke Lembaga Kemajuan Bintulu (BDA) di bangunan Wisma Bintulu di sini semalam.
Menurut kenyataan dari BDA, rombongan yang diketuai pengarahnya, Ts Shahrull Nizam Perdan bersama beberapa pegawai ADTEC Bintulu itu disambut oleh Pengurus Besar BDA, Datu Mohamad Yakup Kari.
Shahrull dalam kenyataan itu berkata, selaku sebuah organisasi peneraju dalam membangunkan tenaga kerja yang berdaya saing, ADTEC Bintulu komited untuk membangunkan tenaga kerja yang berdaya saing melalui kerjasama dengan agensi berkepentingan.
Sementara itu, BDA turut menyatakan kesediaan untuk bekerjasama dengan ADTEC Bintulu dalam menjayakan pembangunan Bintulu, khususnya yang melibatkan generasi muda dan masyarakat setempat.
“Kerjasama ini diharapkan dapat membuka peluang untuk melaksanakan program latihan yang relevan dengan keperluan industri sekali gus menyokong pembangunan mampan di Bintulu.
“Usaha ini selaras dengan visi ADTEC untuk melahirkan tenaga kerja yang berkualiti tinggi, serta misi BDA untuk memacu pembangunan yang inklusif dan progresif di rantau ini,” ujar kenyataan itu.