KUCHING : Sarawak semalam mencatatkan dua kes kematian Covid-19 menjadikan jumlah kematian sebanyak 12 kes di negeri ini.
Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Kesenian Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah berkata mangsa kematian kesebelas merupakan seorang lelaki berumur 72 tahun dari Taman Sebah Height dan telah dikesan positif Covid-19 pada 28 Mac yang lalu.
“Beliau dilaporkan telah dimasukkan ke wad Hospital Umum Sarawak (HUS) dan meninggal dunia pada 4 April, Sabtu jam 1.37 petang.
“Mangsa kematian keduabelas pula, juga merupakan seorang lelaki, berumur 53 tahun dari Batu Kawa yang mana mangsa telah mendapat rawatan di HUS pada 31 Mac dan disahkan positif Covid-19 pada 2 April,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita dalam satu sidang media Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak yang diadakan di Wisma Bapa Malaysia semalam.
Menurut Karim yang mewakili Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Douglas Uggah Embas, mangsa keduabelas ini telah meninggal dunia semalam pada jam 12.39 pagi.
Setakat ini, katanya, belum dipastikan samaada kedua-dua kes mempunyai kontak dengan kes-kes lain yang telah disahkan positif Covid-19.
Sementara itu, beliau memberitahu bahawa terdapat 10 kes baharu positif Covid-19 yang dicatatkan semalam menjadikan jumlah bilangan kes di Sarawak adalah sebanyak 264 kes sejak kes positif pertama dilaporkan pada 13 Mac 2020.
“Daripada 10 kes tersebut, sembilan kes dirawat di HUS dan satu kes dirawat di Hospital Sibu.
“Manakala, sebanyak 50 kes baharu Orang Yang Disyaki (PUI) dilaporkan semalam menjadikan jumlah keseluruhan sebanyak 1,629 kes,” tambahnya.
Daripada jumlah itu, 1,304 kes adalah negatif dan 61 kes PUI masih lagi menunggu keputusan makmal, jelas Karim.
Kata beliau, berdasarkan statistik PUI mengikut daerah, Kuching mencatatkan jumlah tertinggi dengan 17 kes.
Ini diikuti dengan Miri (lapan kes), Samarahan (lima), masing-masing empat di Betong dan Kapit, tiga di Simunjan dan Saratok, dua di Bau dan masing-masing satu kes di Serian, Sri Aman, Sibu dan Song, katanya.
Beliau memberitahu, secara keseluruhan kadar jangkitan baharu di Sarawak menunjukkan tren yang belum stabil dengan bilangan kes positif yang turun dan naik setiap hari.