SARIKEI: Keadaan paras air di tiga kawasan rendah berisiko banjir di sini masih terkawal walaupun hujan lebat sejak awal pagi tadi.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sarikei, Arrahman Chik berkata, pasukan bomba telah menjalankan rondaan pemantauan monsun timur laut (MTL) di Jalan Alamanda, Jalan Ixora dan Jalan Pisang Emas bermula 9.30 pagi.
“Pemantauan yang dijalankan oleh dua orang anggota bomba bertugas mendapati paras air masih dalam keadaan terkawal.
“Semasa pemantauan, hujan masih berlaku di kawasan-kawasan pemantauan,” katanya ketika dihubungi, hari ini.
Katanya, ketika rondaan pemantauan, air sungai sedang surut.
“Rondaan pemantauan selesai sepenuhnya pada 10.50 pagi.
“Tiada sebarang panggilan kecemasan diterima sepanjang rondaan pemantauan dijalankan,” katanya.
Oleh Earl Anek