Pemimpin pelapis PBB sudah bersedia – Abang Johari

Facebook
WhatsApp
CENDERAMATA... Awang Tengah menyampaikan cenderamata berupa pedang Orang Ulu kepada Abang Johari. 

MIRI: Pemimpin pelapis dalam Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) sudah bersedia untuk teruskan kepemimpin Sarawak. 

Presiden PBB, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata beliau melihat bahawa PBB tidak ketandusan pelapis yang boleh membawa Sarawak untuk terus membangun. 

“Saya tahu umur saya dah berapa dan kita tidak boleh mementingkan diri kerana yang penting parti relevan. 

“Kalau ada parti, tapi pemimpin tidak relevan macam mana orang hendak ikut dan pemimpin ini kelak mesti ada cara membangunkan Sarawak mengikut kelebihan beliau,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan mesyuarat perwakilan PBB Zon Utara di sini hari ini.

Abang Johari berkata pemimpin muda daripada kalangan belia perlu mempunyai integriti dan kebijaksanaan dalam membuat keputusan. 

“Kebijaksanaan adalah deria keenam yang tidak terdapat dalam buku, bakat sekarang perlu kebijaksanaan ini untuk masa depan Sarawak. 

“Mereka ini perlu mempunyai kebijaksanaan menangani rakan strategik dalaman termasuk menangani cabaran geo-politik iaitu perairan Sarawak yang terdedah dengan cabaran antarabangsa dan Sarawak merupakan barisan hadapan di Laut China Selatan,” tambahnya. 

Pada masa sama Premier Sarawak memberitahu agar semua ahli parti bersedia berdepan dengan sikap cemburu kepada Sarawak. 

Ini kerana, katanya, sikap cemburu adalah lumrah yang terpaksa dihadapi daripada pihak tertentu yang tidak mahu PBB ini terlalu kuat. 

Namun pemimpin Sarawak sentiasa menunjukkan perjuangan jelas untuk memajukan Sarawak. 

“Kesetiaan kepada parti, semangat perpaduan yang kukuh perlu dipertahankan. 

“Syukur kita (PBB) ada kerjasama dengan GPS dan Kerajaan Perpaduan pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim yang akan memastikan Sarawak terus maju,” katanya.

Hadir sama dua Timbalan Presiden PBB Datuk Amar Doughlas Uggah Embas dan Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan serta barisan kepimpinan PBB lainnya. 

Oleh ADENG EDRUS

Kepulangan terakhir Koperal Chiu, keluarga iringi penghormatan terakhir

SIBU: Di sebalik kepulangan jenazah Koperal Chiu Teck Siong ke kampung halamannya hari ini, balu anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) itu hanya mampu memikirkan masa depan lima anak mereka yang masih kecil, terutama soal pendidikan selepas kehilangan tonggak keluarga dalam tragedi renjatan elektrik di Beaufort, Sabah, semalam. Tan Wei Wei, 39, berkata, keutamaan beliau ketika ini ialah memastikan kelima-lima anak mereka mendapat pembiayaan pendidikan yang mencukupi memandangkan mereka masih kecil. “Yang saya fikir sekarang ialah pendidikan masa depan mereka. Mereka semua masih kecil, sedangkan gaji suami bukanlah besar,” ujarnya ketika ditemui di Ching Chuan Sibu Mortuary Hall di Jalan Bukit Lima di sini, lewat petang tadi. Beliau berkata, lima anak mereka masing-masing berusia 11, 10, sembilan, tujuh dan empat tahun. Menurutnya, empat anak yang lebih besar bersekolah di SJK(C) Tung Hua, Sibu, manakala anak bongsu mengikuti pendidikan prasekolah di Tadika Sing Antong. Tan berkata, mendiang suaminya telah lama berhasrat untuk dipindahkan semula bertugas ke Sibu supaya dapat tinggal bersama keluarga, namun hasrat itu tidak kesampaian. “Memang sudah lama dia hendak berpindah balik ke sini, tetapi belum berjaya,” katanya. Beliau berkata, kali terakhir anak-anak dapat meluangkan masa bersama bapa mereka ialah ketika sambutan Tahun Baharu Cina lalu. Koperal Chiu, 40, merupakan antara tiga anggota polis yang maut selepas dipercayai terkena renjatan elektrik ketika menggunakan galah logam untuk mengambil kelapa di luar Balai Polis Weston, Beaufort, Sabah, semalam. Jenazah beliau diterbangkan dari Lapangan Terbang Pasukan Gerakan Udara (PGU) Polis Diraja Malaysia (PDRM) Kota Kinabalu dan tiba di Lapangan Terbang Sibu pada 5.50 petang. Van yang membawa jasad mendiang kemudian diiringi kenderaan polis serta ahli keluarga ke Ching Chuan Sibu Mortuary Hall di Jalan Bukit Lima. Upacara penghormatan terakhir akan diadakan di dewan berkenaan pada 7.30 pagi esok sebelum mendiang dibawa ke Nirvana Memorial Park untuk upacara pembakaran. Abu mendiang kemudian akan disemadikan di Methodist Grace Memorial Park di Jalan Kemuyang. Dua lagi mangsa yang turut terkorban dalam kejadian itu ialah Lans Koperal Mohamad Nur Hafiz Ibrahim, 29, dan Lans Koperal Muhammad Raimi Ismarubee, 26. Ketiga-tiga mereka bertugas di Balai Polis Weston, Beaufort. Oleh Akun Giman