MIRI: Hak Sarawak ke atas pelantar benuanya perlu dihormati oleh semua pihak termasuk syarikat-syarikat yang beroperasi di Sarawak.
Ia antara 12 usul diterima dari 18 Cawangan Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Zon Utara pada majlis perasmian mesyuarat perwakilan zon tersebut yang diadakan di sini, hari ini.
Usul itu dibaca oleh Naib Presiden Kanan PBB, Dato Sri Stephen Rundi di hadapan Premier Sarawak merangkap Presiden PBB, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg dan lebih 1,300 perwakilan dari 18 cawangan PBB utara Sarawak.
Usul lain adalah seperti berikut:
- Memberikan sokongan tidak berbelah bahagi kepada Presiden PBB yang juga Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg untuk kekal mengetuai PBB tanpa dipertandingkan.
- Mencadangkan agar kedua-dua Timbalan Presiden, Datuk Amar Douglas Uggah Embas dan Datuk Amar Awang Tengah Ali Hassan, dikekalkan dalam jawatan tanpa dipertandingkan.
- Mencadangkan agar kedua-dua Naib Presiden Kanan PBB, Dato Sri Fadillah Yusuf dan Dato Sri Dr Stephen Rundi Utom, dikekalkan dalam jawatan tanpa dipertandingkan.
- Memberi kepercayaan dan sokongan penuh kepada kepimpinan PBB dan GPS untuk memastikan hak-hak istimewa Sarawak yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan, Perlembagaan Negeri, Perjanian Malaysia (MA63) dan Laporan Laporan Jawatankuasa Antara Kerajaan (IGC) dipatuhi
- Penambahan bilangan kerusi bagi Sarawak dan Sabah kepada 35 peratus daripada jumlah kerusi Parlimen Malaysia.
- Memastikan bahawa status dan peranan PBB kekal dominan sebagai parti tulang belakang kepimpinan GPS dan kerajaan Sarawak untuk kestabilan politik dan kelangsungan pembangunan yang lestari serta memperkukuh perpaduan antara pelbagai etnik, agama dan budaya, demi memastikan masyarakat hidup aman, damai dan harmoni.
- Menyokong penuh rancangan Kerajaan untuk;
a) menjadikan kawasan Utara Sarawak sebagai satu lagi kawasan jelapang padi, pusat penternakan dan akuakultur
B) Penubuhan Jabatan Perikanan Sarawak untuk menjadikan Sarawak sebagai pengeksport hasil pertanian menjelang 2030.
- Menggesa kerajaan Sarawak dan Persekutuan untuk mempercepatkan pembangunan infrastruktur asas dan kemudahan di kawasan Utara, antaranya,
a) pembinaan Lebuh Raya Pesisir Utara, Jalan Lintas Sabah-Sarawak termasuk menaik taraf jalan-jalan balak dan jambatan di pedalaman,
b) membina Lapangan Terbang Lawas dan menaik taraf Lapangan Terbang Miri, Limbang dan di luar bandar,
c) menaik taraf pelabuhan Miri,
d) mempercepatkan pembaikan, menaik taraf, dan membina semula sekolah-sekolah, klinik-klinik, dan kemudahan berkaitan yang daif terutamanya di kawasan luar bandar
e) memperluaskan liputan telekomunikasi, bekalan air bersih dan bekalan elektrik,
Ini akan menjadi “game changer” kepada pembangunan kawasan utara Sarawak.
- Menjadikan kawasan utara sebagai hab pelancongan dengan memanfaatkan pengiktirafan Taman Negara Mulu dan Taman Negara Niah sebagai tapak warisan UNESCO, kepelbagaian budaya dan keindahan alam semula jadi yang kaya dengan flora dan fauna termasuk Usun Apau, Gunung Buda dan Gunung Murud.
- Mendengar rintihan rakyat mengenai ketidakmampuan memiliki rumah, maka kita menggesa kerajaan untuk menambah projek perumahan Spektra dan mampu milik serta menambah peruntukan bagi pinjaman pembinaan rumah panjang.
- Untuk mengekalkan kehidupan beragama yang harmoni kita menyokong pemerkasaan peranan institusi keagamaan seperti Majlis Agama Islam, Jabatan Agama Islam dan UNIFOR.
- Mempercepatkan pengambilalihan Affin Bank dan MASWings Sdn Bhd, dan
- Mencadangkan agar kerajaan terus memperkukuhkan kawasan utara sebagai hab pengeluaran minyak dan gas Sarawak dan pembangunan Industri hiliran.
Oleh Liong Chai Ling