KUCHING: Sempena menyambut Tahun Ular 2025 yang bakal tiba, STM Lottery Sdn Bhd telah melancarkan sebuah inisiatif kebangsaan untuk membantu lebih 19,000 warga emas kurang berkemampuan di seluruh negara.
Kempen selama enam hari ini, yang bermula pada 16 Januari 2025, meliputi 50 bandar dan pekan, termasuk Kuching.
Seramai 450 warga emas di Kuching telah menerima sumbangan angpao dan hamper mini sebagai tanda prihatin sempena perayaan ini.
Datuk Bandar Majlis Bandaraya Kuching Selatan (MBKS), Dato Wee Hong Seng hadir untuk menyerahkan sumbangan kepada penerima.
Beliau memuji kempen tahunan ini sebagai inisiatif yang membawa manfaat besar kepada warga emas.
“Kempen tahunan oleh STM Lottery Sdn Bhd ini adalah usaha yang patut dipuji kerana menunjukkan keprihatinan terhadap keperluan warga emas.
“Peranan sektor swasta dalam membina masyarakat penyayang adalah amat penting. Kita semua, tidak kira kerajaan, sektor swasta, atau rakyat perlu bersama-sama membantu mereka yang memerlukan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui wartawan semasa Kempen Derma Angpao Tahun Baharu Cina Sports Toto 2025, hari ini.
Kempen Derma Angpao Tahun Baharu Cina oleh STM Lottery telah menyumbangkan lebih RM26.95 juta sejak ia dilancarkan pada 1988.
Program itu telah memanfaatkan lebih 474,550 warga emas di seluruh negara.
Kempen tahun ini adalah sebahagian daripada ‘Helping Hands Programme’, yang mencerminkan komitmen STM Lottery terhadap nilai-nilai sosial, termasuk pembangunan sukan, inisiatif bank makanan, dan pemuliharaan alam sekitar.
Oleh Amanda L.