KUCHING: Cabang operasi dan peruncitan Sarawak Energy, Syarikat SESCO Berhad (SESCO) akan memperkenalkan format bil elektrik baharu bermula Isnin depan, 20 Januari.
Menurut satu kenyataan, format baharu ini direka bentuk untuk memberikan maklumat bil yang lebih jelas dan terperinci, bertujuan membantu pelanggan memahami dan menguruskan penggunaan tenaga serta caj mereka dengan lebih mudah.
Katanya, format bil yang diperbaharui itu menawarkan pecahan lengkap caj dan penggunaan tenaga.
“Ia turut menyertakan butiran tambahan seperti bacaan meter terdahulu, bacaan semasa, dan jumlah unit yang digunakan dalam susunan yang teratur dan mudah difahami.
“Penambahbaikan ini dibangunkan berdasarkan maklum balas pelanggan untuk memastikan bil elektrik lebih informatif dan mesra pengguna,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Dalam pada itu, seiring dengan pelancaran format baharu ini, pelanggan digalakkan melanggan perkhidmatan e-Bill Sarawak Energy.
“Melalui perkhidmatan ini, bil dihantar terus ke e-mel pelanggan dan boleh diakses dengan mudah melalui peranti mudah alih.
“Inisiatif ini menyokong usaha Sarawak untuk memodenkan perkhidmatan dan menggalakkan penerapan digital,” katanya.
Pada masa sama, pelanggan yang masih belum melanggan e-Bill akan terus menerima bil bercetak seperti biasa.
“Namun begitu, mereka disarankan beralih kepada e-Bill untuk kemudahan yang lebih baik, akses pantas kepada maklumat bil, dan menyokong usaha kelestarian dengan mengurangkan penggunaan kertas,” katanya.
Langganan perkhidmatan e-Bill boleh dibuat melalui aplikasi mudah alih SEB cares atau portal web Sarawak Energy.
Bagi pelanggan yang memerlukan bantuan memahami format bil baharu, mereka boleh menghubungi Pusat Khidmat Pelanggan Sarawak Energy di talian 1-300-88-3111.
Bantuan tambahan juga boleh didapati melalui aplikasi SEB cares, portal web, atau e-mel di customercare@sarawakenergy.com.
Selain itu, pelanggan juga boleh berhubung dengan ejen maya CARINA melalui aplikasi SEB cares, laman web rasmi www.sarawakenergy.com, atau laman Facebook rasmi di www.facebook.com/CarinaSarawakEnergy.
Langkah ini dijangka akan memudahkan pelanggan dan menyokong usaha Sarawak Energy ke arah perkhidmatan yang lebih moden dan mesra pelanggan.