LONDON: Mikel Arteta melaungkan amaran kepada Liverpool bahawa Arsenal yang “sensasi” kembali dalam perebutan kejuaraan Liga Perdana Inggeris (EPL) selepas mengalahkan Tottenham 2-1 pada pertembungan musuh tetangga London utara, awal pagi tadi.
Terdesak memerlukan kemenangan untuk merapatkan jurang dengan pendahulu Liverpool, Arsenal mempamerkan kebangkitan terpuji selepas gol pembukaan Son Heung Min buat Tottenham.
Gol sendiri Dominic Solanke menyaksikan Arsenal menyamakan kedudukan sebelum jaringan Leandro Trossard meletakkan mereka di depan pada hujung babak pertama di Stadium Emirates.
Kemenangan pertama pasukan tangga kedua Arsenal dalam empat perlawanan bagi semua pertandingan melonjakkan mereka empat mata di belakang Liverpool.
Sekalipun anak buah Arne Slot beraksi kurang satu perlawanan dan kekal pilihan utama muncul juara, Arteta yakin Arsenal mempunyai apa yang diperlukan untuk mengejar kelab Anfield itu.
Ditanya jika Arsenal calon juara, Arteta berkata: “Ya. Ada banyak perlawanan lagi yang perlu diharungi. Anda boleh lihat betapa sukarnya ia buat setiap pasukan.
“Kami bertindak dengan sensasi. Ia satu ujian besar selepas dua perlawanan dan tidak mendapat apa-apa,” katanya.
“Kami bertindak luar biasa pada aksi terakhir menentang (Manchester) United dan kami bagaimanapun kalah.
“Ia bagaimana anda bertindak balas terhadap situasi. Pemain mahukan lebih, mereka mahu diuji dan dipersoal, kemudian mereka mahu turun ke padang. Kami mempunyai contoh besar hari ini, beraksi 72 jam selepas 120 minit Ahad lalu.
“Untuk beraksi perlawanan terbesar musim ini buat penyokong kami, ia satu ujian terhadap sikap, apa yang kami ada, keberanian yang kami miliki. Dari minit pertama, kami berhak menang perlawanan ini.” – AFP