BELAGA: Program ‘Peji Ha Uma Bawang!’ anjuran mahasiswa-mahasiswi Universiti Putra Malaysia Kampus Bintulu (UPMKB) menghimpunkan lebih 100 peserta, termasuk komuniti Uma Bawang di Sungai Asap di sini, baru-baru ini.
Menurut UPMKB menerusi satu kenyataan, program ini bertujuan memperkasa hubungan komuniti serta memperkenal teknologi pertanian moden kepada penduduk setempat.
Program tiga hari dua malam ini dianjurkan oleh pelajar Kursus QKK2101 Bakti Siswa (Kumpulan 101) yang terdiri daripada 23 pelajar.
Dalam kenyataan itu, wakil Pengarah UPMKB, Mohamad Syukri Bin Mohamad Adnan berkata, program tersebut memberi peluang kepada pelajar untuk mendalami budaya setempat dan berinteraksi dengan masyarakat luar bandar.
Selain itu, tambahnya, ia juga dapat mengasah semangat kepimpinan dan kemahiran insaniah pelajar melalui aktiviti kemasyarakatan yang dijalankan.
Pelbagai aktiviti menarik diadakan sepanjang program berlangsung, termasuk lawatan ke Empangan Hidroelektrik Bakun, yang dikelolakan oleh Sarawak Energy Berhad, serta Fun Run yang melibatkan mahasiswa UPMKB dan komuniti Uma Bawang, termasuk kanak-kanak dan keluarga angkat.
Aktiviti lain pula seperti demonstrasi pemasangan set akuaponik, senamrobik, sukaneka, serta sesi memasak dan membuat kuih tradisional kaum Kayan bersama ibu-ibu angkat.
Satu Malam Silang Budaya turut diadakan dengan persembahan tarian Ngajat, peragaan pakaian tradisional Orang Ulu, serta pembuatan aksesori daripada manik.
Sementara itu, Ketua Kampung Uma Bawang, Ellison Duren Lihan menzahirkan rasa penghargaan terhadap inisiatif UPMKB.
“Kami amat berbesar hati menerima kehadiran pelajar UPMKB yang sudi berkongsi ilmu.
Ts. Gs. Dr. Wan Nor Zanariah Zainol @ Abdullah selaku penasihat program pula berkata, penganjuran program seumpama itu penting dalam mengasah bakat kepimpinan pelajar dan memberi pendedahan kepada mereka mengenai cabaran dihadapi komuniti luar bandar.